KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu mengelakkan diri daripada perbuatan mencium mulut anak meskipun sebagai cara menzahirkan kasih sayang.

Menurut Pakar Psikologi SEGi University, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, ini kerana perbuatan tersebut berkemungkinan mendorong kepada pembentukan sifat kanak-kanak yang akan menganggap perkara itu sebagai biasa.

Katanya, sifat ingin tahu kanak-kanak yang meluap-luap boleh membawa perkara itu kepada kejadian yang tidak diingini.

"Agak sukar untuk berselindung, saya perlu maklumkan dengan jelas. Ciuman dari mulut ke mulut itu perlu diawasi. Kalau boleh, ibu dan bapa elakkan dari perbuatan ciuman mulut ke mulut kerana mereka akan lakukan kepada orang lain dan perkara ini amat bahaya.

"Bukan anak-anak sahaja perlu tahu, ibu dan bapa juga perlu tahu kerana ini adalah antara elemen-elemen yang terangkum dalam ekosistem jenayah seksual (dalam keadaan yang lain)," ujarnya.

Katanya lagi, kanak-kanak akan menterjemah perlakuan jelik melalui kaedah simulasi sekiranya ia tidak dibendung dan dipantau dengan baik oleh ibu bapa.

Pandangan itu dikongsikan beliau dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.

Ibu-bapa perlu elak dari mencium mulut anak