Bandaraya Ipoh bakal menjadi pusat pengeluar kasut terbesar di negara ini menjelang tahun 2026 selepas kerajaan negeri membangunkan bandar kasut di negeri itu.

Bandar tersebut bakal menempatkan sekitar 200 pembuat kasut di Perak yang ketika ini mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan di kediaman masing-masing.

“Kita mengharapkan kawasan ini akan mejadi satu lagi tarikan pelancong bagi untuk mendapatkan kasut yang dibuat secara ‘handmade’ ini,

“Saya yakin dalam negara kita boleh pengeluar kasut terbesar yang diusahakan dengan kepakaran anak tempatan,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selepas majlis pecah tanah dewan pameran Ipoh Shoe City di sini hari ini.

Projek bernilai RM100 juta di kawasan seluas 26.7 ekar di kawasan perindustrian Ringan Pengkalan itu dijangka mentransformasikan industri pembuatan kasut.

Ia melibatkan pembinaan 128 buah kilang, 18 buah kedai, satu hotel dan satu dewan konvensyen.

Selain itu ia turut dilengkapi dengan dewan pameran kasut, muzium kasut, restoran, kedai borong kasut dan sebuah pusat akademi kasut yang merupakan satu-satunya akademi kasut di Malaysia.

Projek berkenaan merupakan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persatuan Industri Kasut Perak (PIKP).