ASIA bukan sekadar menawarkan tarikan seni bina Angkor Wat dan Taj Mahal yang mengagumkan, atau kota metropolitan Tokyo dan Hong Kong, mahupun pantai Bali dan Phuket.

Bagi pengembara yang bernasib baik kerana mempunyai masa untuk mengenali benua ini dengan lebih lama, meluas dan terperinci, terdapat banyak lagi khazanah bernilai yang menunggu untuk ditemui.

Salah satunya ialah Ipoh, Perak, Malaysia yang merupakan destinasi pertama dinyatakan dalam senarai 18 of Asia's Most Underrated Places oleh portal CNN Travel.

Senarai itu sekali gus memberi pendedahan dan penghormatan kepada setiap destinasi yang disifatkan memiliki nilai pelancongan yang bagus, namun masih kurang mendapat perhatian yang sewajarnya.

BACA: Ipoh di tangga pertama 'lokasi menarik paling kurang dinilai' di Asia - Datuk Bandar



Dalam penerangannya, Ipoh digambarkan sebagai sebuah bandar yang kaya dengan keindahan bukit batu kapur dan gua yang menjadi lokasi kuil unik serta menakjubkan. Turut mendapat perhatian menerusi deskripsinya adalah white coffee tradisi yang menjadi tarikan.

"Apabila bercakap tentang bandar makanan Malaysia yang hebat, kebanyakan orang memikirkan Pulau Pinang. Tetapi itu hanya kerana mereka tidak pernah ke Ipoh.



"Ibu kota negeri Perak, lokasi Ipoh di antara Kuala Lumpur dan George Town menjadikannya tempat persinggahan yang ideal untuk sebarang perjalanan darat di Malaysia.

"Ia juga merupakan pintu masuk ke Cameron Highlands, sebuah daerah yang terkenal dengan cuaca sejuk dan ladang teh," kata portal berkenaan.

Antara keistimewaan bandar ini yang disenaraikan ialah kuil yang kaya dengan ukiran batu dikelilingi oleh stalaktit dan stalagmit, serta seni bina warisan kolonial Ipoh seperti di stesen kereta api dan Menara Jam Birch, dewan bandar raya dan pejabat pos lama.

BACA: Landskap, sejarah dan menu lazat: Ini lapan tempat wajib dikunjungi di Ipoh