POLITIK di tempat kerja adalah lumrah yang terpaksa didepani walau di mana sahaja organisasi, syarikat, jabatan atau tempat anda bekerja.

Pelbagai masalah boleh berlaku dalam dunia pekerjaan sama ada melalui tekanan persekitaran, bebanan tugas yang dihadapi ataupun faktor lain yang melibatkan rakan sekerja.

Persoalannya, sebagai individu, apakah perkara yang boleh kita lakukan bagi mengekalkan diplomasi yang baik dalam politik di tempat kerja? Berikut merupakan 7 perkara yang boleh dilakukan menerusi apa yang digariskan oleh Jobstreet.com.
  1. Jangan Mengeluh Mengenai Kerja di Tempat Kerja - Jika anda menghadapi tekanan dan masalah di pejabat, cuba elakkan daripada berbuat demikian kerana anda mungkin berhadapan dengan risiko. Ada pihak yang akan menggunakan keluhan itu sebagai 'senjata' untuk menentang anda.
  2. Layan Orang Lain Seperti Mana Anda Mahu Dilayan - Ini penting untuk berbaik dengan semua orang. Jika anda mengharapkan layanan baik daripada majikan, rakan sekerja atau sesiapa sahaja, seharusnya anda mempraktikkan perkara ini. Bersikap profesional dan elakkan perkara-perkara negatif di tempat kerja.
  3. Tarik Nafas - Jika anda berada dalam situasi yang tidak baik, marah dan sebagainya, adalah penting untuk anda tarik nafas dalam-dalam dan ambil waktu untuk berehat seketika. Ketika ini, cuba jauhkan dari suasana tempat kerja seperti berjalan di luar pejabat, minum kopi dan ambil tempoh untuk bertenang. Perkara ini membolehkan anda berfikir secara rasional sebelum anda membuat sebarang keputusan.
  4. Bina Nilai Persahabatan Di Tempat Kerja - Setiap dalam kalangan kita memerlukan hubungan dan silaturahim yang baik terutamanya dengan rakan sekerja. Bina nilai persahabatan dengan seseorang yang memahami dan boleh membantu jika memerlukan. Ini penting untuk tujuan moral dan motivasi jika anda mengalami masalah di tempat kerja. Ia juga salah satu cara untuk kita rasa senang bekerja.
  5. Jauhkan Diri Daripada 'Diva' dan 'Drama Queen' - Perkataan 'Diva' dan 'Drama Queen' pastinya tidak dapat lari dalam kalangan pekerja, khususnya apabila merujuk kepada individu yang berlagak hebat atau suka mencari perhatian. Pasti ada yang memenuhi kriteria seperti yang dimaksudkan. Sehubungan dengan itu, adalah lebih baik untuk anda tidak terlibat dalam 'drama' yang cuba dicetuskan.
  6. Fokus Dengan Kerja - Ingat balik tujuan asal anda bekerja. Fokus dengan setiap tugasan yang diberikan dan sentiasa memberikan yang terbaik kepada majikan. Bercakap dan berbincang mengenai hal-hal yang penting berhubung kerja. Jangan bergosip!!
  7. Berhati-hati Dengan Siapa Anda Bercakap - Mungkin sukar untuk anda mengenali siapa yang selalu mencetuskan politik di tempat kerja tambahan pula jika anda baru di syarikat berkenaan. Adalah lebih baik untuk anda mengenali individu tersebut terlebih dahulu sebelum menceritakan hal-hal yang boleh menjatuhkan anda.