PENGASAS Amazon, Jeff Bezos dan kekasihnya, Lauren Sanchez dilaporkan telah mengikat tali pertunangan, kata sumber terdekat pasangan itu kepada CNN.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat lanjut berhubung pertunangan atau rancangan perkahwinan pasangan itu yang dikongsi.

Bezos dan Sanchez, seorang bekas wartawan penyiaran mula mendedahkan hubungan mereka kepada umum pada tahun 2019.

Sejak Bezos dan Sanchez mula berpasangan, kedua-dua mereka hanya berkongsi perihal peribadi dengan rakan-rakan terdekat dan di luar lingkaran media, kecuali wajah mereka sering dirakamkan oleh jurugambar di pelbagai acara.

Pada tahun 2022, dalam satu wawancara sulung dengan CNN di kediaman mereka di Washington DC, pasangan  ini bercerita bagaimana kerja-kerja amal yang dilakukan telah secara tidak langsung menyumbang kepada kekayaan Bezos yang besar secara strategik.

Bahkan, kata Sanchez kepada CNN, dalam melaksanakan kerja-kerja amal, mereka muncul sebagai "pasukan yang hebat," namun, dalam masa sama boleh menjadi "agak membosankan."

Bezos pula menggambarkan Sanchez yang juga penerima anugerah Emmy sebagai "orang yang paling murah hati dan baik hati yang pernah anda temui" dan berkata, pasangannya itu dalah "sumber inspirasi."

Bilionair ini yang juga pengasas firma peneroakaan angkasa, Blue Origin berlepas ke angkasa lepas pada tahun 2021 dan kembali menggunakan roket New Shepard milik syarikatnya.

Sanchez, yang juga seorang bekas juruterbang helikopter memberitahu CNN, dia juga merancang untuk pergi ke angkasa lepas dalam beberapa tahun akan datang dan akan disertai oleh "sekelompok wanita yang hebat."

Bezos sebelum ini berkahwin dengan MacKenzie Scott selama 25 tahun dan mempunyai empat orang anak bersama.

Sanchez pula mempunyai tiga orang anak daripada hubungan terdahulu dan telah berkahwin dengan ejen Hollywood, Patrick Whitesell, selama 13 tahun sebelum perceraian mereka dimuktamadkan pada tahun 2019.