SEORANG remaja yang sebelum ini menulis surat kepada Disney meminta agar mewujudkan watak utama berkaca mata, kini berkempen untuk perkara yang hampir sama bagi emoji pula.

Hasrat Lowri Moore, 13, dari Nottinghamshire, United Kingdom, menjadi kenyataan tahun lalu menerusi watak Mirabel Madrigal dalam filem animasi Encanto.

Sempena Hari Penglihatan Sedunia, dia berkempen agar lebih banyak emoji dengan cermin mata diwujudkan, dan tidak sekadar emoji yang membawa maksud nerd.

Remaja itu telah menulis surat kepada sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam penerbitan emoji dengan menyatakan perlunya untuk meletak cermin mata pada semua wajah serta ekspresi emoji.

Satu-satunya emoji dengan cermin mata pada platform seperti Apple dan WhatsApp ialah emoji nerd dan emoji guru.

Lowri berkata emoji nerd merupakan stereotaip negatif bagi mereka yang memakai cermin mata, dan dianggap tidak adil.

Dalam surat kepada Unicode Consortium, badan yang bertanggungjawab dalam penerbitan semua emoji baharu, Lowri meminta 'penipuan' itu tidak diteruskan kerana ia akan menjejaskan keyakinan diri generasi akan datang.

"Malangnya, satu-satunya emoji yang memakai cermin mata ialah wajah nerd. Seperti yang saya pasti anda tahu, orang yang memakai cermin mata bukanlah 'nerd'.

"Tetapi melainkan jika kita menangani perkara ini, ada kemungkinan generasi akan datang akan membesar dengan mempercayai mereka adalah nerd," ujarnya.