ISTILAH 'recycle' pakaian atau memakai pakaian yang sama berulang kali bukan perkara pelik bagi kebanyakan daripada kita.

Tetapi kini, kita mengetahui ia sememangnya perkara normal untuk semua, termasuk kerabat diraja.

Salah seorangnya adalah Putera Harry, yang memakai semula salah satu pakaian kegemarannya dalam sesi wawancara dengan Oprah Winfrey.

Dalam pratonton untuk wawancara yang dinanti-nantikan itu, Putera Harry dilihat memakai sut kelabu dengan kemeja berbutang putih serta kasut berwarna coklat.

Sut kelabu ini mungkin sut kegemaran Putera Harry.

Ia penampilan yang nampak dejavu, kerana Duke of Sussex itu pernah mengenakan sut yang sama beberapa kali sebelum ini.

Beliau dilihat memakai sut sama ketika memperkenalkan bayi sulungnya, Archie, pada Mei 2019.

Harry juga mengenakan sut yang sama dalam beberapa lawatan rasminya termasuk lawatan rasmi ke Maghribi pada 2018.

Mungkin itu salah satu perkara yang dipelajari Harry daripada ayahandanya, Putera Charles yang kerap juga dilihat recycle pakaian.

Malah beliau tidak keberatan untuk mengenakan sut kelabu Anderson & Sheppard ke majlis perkahwinan Harry dan Meghan pada 2018, yang sudah ada dalam simpanannya sejak 1984.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !