KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan tugasnya sebagai menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz juga dikenali sebagai seorang personaliti yang mesra media sosial.

Perkongsian kandungan media sosial Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu sentiasa menjadi tumpuan netizen kerana Tengku Zafrul dilihat begitu dekat dengan masyarakat.

Tengku Zafrul dan pasukan media sosialnya sangat cakna dengan laras bahasa netizen.

Justeru, tidak hairan kenapa setiap hantaran beliau membuatkan ramai yag terhibur dan dalam masa sama beliau juga tidak pernah terlepas daripada berkongsi perkembangan terkini dan hasil setiap tugas dan tanggungjawab yang dipikulnya.

Berhubung perkongsian hantaran sosialnya, terbaharu Tengku Zafrul berkongsi cerita aktiviti beliau di bulan Ramadan.

Beberapa hari lalu, beliau mengambil kesempatan menunggang motosikal bersama rakan-rakannya bersiar-siar di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Kata Tengku Zafrul, sudah lama beliau tidak berkesempatan berbuat demikian, justeru, peluang yang ada
dimanfaatkannya.

Tengku Zafrul ralit menikmati colek dalam dulang di Warung Che Senah, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Dah lama tak ride ni. Apa lagi, terus ajak kawan-kawan ride, lepas tu kita moreh.

“Apa tempat makan best kat KL ni? Diorang ajak makan kat Warung Che Senah, Kg Baru. Dah ada ramai ni, kita order terus colek dalam dulang. Makanan tu semua longgok dalam dulang, kita hadap ramai-ramai.

"Saya try air ‘I colek U’. Rasa dia masam-masam manis. Siapa yang suka air manih leting mesti suka air ni.

"Ramai juga anak muda yang masih moreh kat Warung Che Senah walaupun dah jam 12 malam. Saya rasa mereka terus sambung ke sahur,” demikian antara catatan dalam hantaran yang mengiringi beberapa foto.

Dalam perkongsian yang sama, Tengku Zafrul turut menulis beliau terserempak dengan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di gerai yang sama.

Tengku Zafrul (kiri) turut terserempak dengan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal.


“Lepas moreh terus sambung pusing-pusing sekitar Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang. Semuanya penuh. Mungkin sebab hari ni cuti, mereka ambil kesempatan luangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan.

“Sekarang ni kita ride dekat-dekat dulu. Dah biasa nanti, baru boleh pergi jauh sikit. Ada suggestion destinasi yang sesuai untuk beginners?” tulis Tengku Zafrul lagi meminta pandangan pengikutnya.