DALAM keseronokan menyambut lebaran, budaya kunjung mengunjung tidak dilupakan.

Inilah masanya untuk bertemu saudara-mara serta rakan taulan yang sudah lama tidak berjumpa dan bertanya khabar.

Menjadi kebiasaan, setiap kali tibanya perayaan, jalan-jalan raya akan sesak. Kesesakan jalan raya bagi setiap tahun sukar dijangka malah ada yang tersangkut berjam-jam lamanya.

Oleh yang demikian, kesabaran dan juga keprihatinan setiap pemandu jalan raya amatlah penting kerana masing-masing mahu sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.

Namun, berlaku sebaliknya bagi sebuah kereta Perodua Myvi ini apabila mendapat ‘pengajaran’ paling bermakna dalam hidup apabila keretanya terjatuh dan tersangkut di tebing sekolah.

Menurut perkongsian video TikTok @m.a7annnn kejadian itu berlaku dipercayai apabila pemandu Myvi tersebut cuba memotong barisan panjang di laluan berkenaan.

Dalam video berkenaan pemandu itu ‘berusaha keras’ bergerak ke hadapan dan ke belakang untuk keluarkan separuh badan King yang tersangkut.

Apabila perakam melepasi kereta Myvi itu, bahagian 'bumper' hadapan sudah tercabut.

Walaupun kereta sudah teruk sebegitu, namun tiada kereta lain yang berhenti memberikan bantuan.

Netizen umpamakan situasi itu sebagai ‘orang tamak, selalu rugi’. Hanya sebab tidak boleh bersabar beberapa minit, pemandu itu terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membaiki kerosakan kereta King tersebut.

Dalam pada itu, ada berasa kesian selepas menonton video tersebut. Mereka berpendapat pemandu Myvi itu mungkin dalam ‘kecemasan’ sehingga dia terpaksa memotong kereta-kereta lain.

Namun nasib tidak menyebelahinya, kereta pula tersangkut di bahagian tebing selekoh berkenaan. - Keluarga