ALOR SETAR: Dari Kedah ke Parit Sulong,
Menganyam rindu jarang bertemu,
Alangkah baik sikapmu Pak Long,
Ingin kami berlama-lama denganmu…


Itu serangkap pantun yang disampaikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika mengakhiri ucapannya dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah di Stadium Darul Aman, di sini, hari ini.


Pantun yang ditujukan khas Muhammad Sanusi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seakan memberi gambaran pendirian Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu mengekalkan sokongan kepada Naib Presiden UMNO berkenaan bagi jawatan nombor satu negara.

Sebaik selesai menyampaikan pantun itu, Muhammad Sanusi mendapat tepukan gemuruh daripada ribuan pengunjung yang menghadiri majlis berkenaan.

Muhammad Sanusi turut berkongsi hantaran pantun berkenaan di laman sosial Facebook miliknya selang beberapa minit selepas itu.

Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengikut di Facebooknya termasuk menyokong keputusan untuk mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selain terus memperkukuhkan hubungan Pas-UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Selain itu, terdapat juga maklum balas berhubung sikap Perdana Menteri yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi 'kegilaan politik' seperti sesetengah individu lain.

Dalam ucapannya juga, Menteri Besar Kedah itu menyampaikan ucapan tahniah kepada Ismail Sabri yang genap setahun menerajui negara sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri disifatkan Muhammad Sanusi mampu menangani pelbagai cabaran dengan tenang dan berwibawa sepanjang tempoh pentadbiran beliau.

"Cukup tempoh setahun Datuk Seri Ismail Sabri mengemudi bahtera tanah air kita, Datuk Seri selayaknya menerima pujian dan penghargaan.

"(Ini kerana) ketika sewaktu mengambil alih kepimpinan negara, beliau berhadapan bukan sahaja cabaran pandemik COVID-19 dan kemelut politik dari dalam dan luar parti...tahniah sekali lagi," katanya.

Ismail Sabri berada di Kedah bagi lawatan kerja selama dua hari bermula semalam.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Muhammad Sanusi juga berkata, semangat gagasan Keluarga Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri mengajak rakyat untuk terus mengekalkan keharmonian selain mengemudi negara mendepani cabaran atau krisis termasuk COVID-19, kemelut politik dan inflasi.

"Dalam situasi seperti ini tidak ada keupayaan yang lebih ampuh untuk kita hadapi melainkan bersama-sama menyatukan hati dan tekad untuk melawan apa jua cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah keluarga yang besar iaitu Keluarga Malaysia.

"Untuk itu, kita perlu mengetepikan apa jua perbezaan untuk bersama-sama memperjuangkan kelestarian hidup dalam suasana sejahtera, makmur dan harmoni di tanah air tercinta ini," katanya.

Tidak ketinggalan, Muhammad Sanusi turut memuji inisiatif kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang disifatkan beliau sebagai langkah efisien dalam mengawal kos sara hidup.