GEORGE TOWN:Peluang melakar potret enam legenda serta ikon bola sepak Pulau Pinang untuk tatapan umum di dinding Stadium Bandaraya di Jalan Perak di sini, mengundang rasa teruja dan terharu kepada seorang pelukis kelahiran negeri itu.

Mohd Azmi Mohd Hussain, 36, berkata peluang mengabadikan wajah Allahyarham Ali Bakar, Allahyarham Datuk Namat Abdullah, Datuk M. Kuppan, Pang Siang Hock, Shukor Salleh dan pemenang Anugerah Puskas 2016 Mohd Faiz Subri itu diberikan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBBP) yang memintanya melukis mural di dinding stadium tersebut.

"Saya terfikir untuk abadikan legenda bola sepak kita selepas melihat pelukis luar negara melukis wajah legenda bola sepak dunia mendiang Diego Maradona sebagai penghargaan dan MBPP bersetuju dengan idea saya itu," katanya yang ditemui Bernama ketika sedang menyiapkan mural tersebut di sini.

Menurutnya mural itu bersempena sambutan Hari Bandar Raya yang akan dilancarkan Datuk Bandar Datuk Yew Tung pada Januari ini.

Mohd Azmi yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang itu berkata beliau memulakan kerja-kerja melukis pada Isnin lepas dan dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Menurutnya, usaha beliau itu turut mendapat sokongan moral orang ramai yang melalui kawasan berkenaan, sekali gus memberi kepuasan pada dirinya.

Mohd Azmi juga berharap mural yang dihasilkannya itu akan menjadi satu lagi tarikan pelawat di Pulau Pinang selain terus diberikan peluang melukis lebih banyak potret bintang sukan negara selepas ini.

Sepanjang kerjayanya sebagai pelukis, Mohd Azmi mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebanyak dua kali.

"Pada 2017, saya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records dengan melukis karikatur 320 wajah secara 'live' dalam masa 24 jam di Jalan Masjid Kapitan Keling manakala pada 2019 saya melukis kopi terpanjang di Malaysia, iaitu sepanjang 101 meter di Starbucks Coffee di Karpal Singh Drives yang ditaja Starbucks," katanya.

Sementara itu, orang awam yang melalui kawasan berkenaan menyifatkan mural tersebut secara tidak langsung membolehkan generasi muda sekarang mengenali bintang bola sepak sebelum ini.

"Rasa seronok bila melalui kawasan ini ada mural pemain bola sepak. Sebelum ini, kawasan dinding ini kosong sahaja," kata Nazri Walid, 46.

-- BERNAMA