SIAPA yang tidak sayangkan zuriat sendiri, kan? Namun adakalanya sikap anak boleh menguji kesabaran ibu bapa. Jom kenal pasti 5 perangai anak yang boleh mendatangkan kebimbangan.

Sebagai ibu bapa, pastinya tertanya-tanya apakah perwatakan anak yang mungkin di luar batasan normal seorang kanak-kanak.

Tidak dinafikan pada tahap tertentu, anda perlu berdepan dengan tingkah laku anak yang mungkin mendatangkan masalah.

Pastinya cara anda bertindak balas terhadap sikap anak itu memainkan peranan utama.

Pun begitu, terdapat beberapa perangai anak boleh dianggap sebagai petanda masalah yang lebih serius dan memerlukan bantuan profesional.

Lima sikap anak berikut mungkin bermaksud mereka menderita gangguan tingkah laku atau didasari masalah tertentu.

Ia boleh digunakan untuk membantu anda mengenal pasti permasalahan anak, seterusnya membawa mereka untuk mendapatkan bantuan profesional bagi pencegahan awal.


1. Membantah

Walaupun terdapat banyak penjelasan yang mendasari perangai anak ini, namun seringkali ia disebabkan gangguan tingkah laku seperti:

Gangguan hiperaktif kekurangan tumpuan (ADHD)

Gejala bertentangan dan bantahan (oppositional defiant disorder, ODD)

Conduct disorder (CD). Selalu tanda-tanda gangguan di atas sering bertindih kerana mempunyai gejala yang lebih kurang sama. Namun, perwatakan anak yang suka membantah ini akan lebih terserlah pada anak dengan ODD dan CD.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan, ia adalah perkara biasa untuk seorang anak menguji had kesabaran anda. Jadi jika anak membantah permintaan anda, tawarkan sesuatu kepadanya, seperti, “Kalau Qila kemas mainan, kita boleh pergi berjalan di taman.”

Dan sekiranya mereka masih tidak mahu mengikutinya, berikan amaran yang diikuti dengan akibat. Paling penting, pastikan anda konsisten. Jangan hari ini anda memarahi perangai mereka dan keesokan harinya, tiada sebarang hukuman jika anak mengulanginya.


2. Kurang tumpuan

Antara sikap anak yang paling menguji kesabaran ibu ayah apabila mereka tidak memberikan fokus. Situasi ini seringkali berlaku jika mereka tidak berminat kepada sesuatu perkara itu.

Namun, sekiranya anda menyedari mereka sukar menumpukan perhatian atau kerap bertukar aktiviti tanpa menyelesaikannya, ia mungkin gejala ADHD.

Anak juga mungkin tampak impulsif – melakukan sesuatu dengan terpaksa dan terlalu aktif.


3. Agresif secara fizikal

Bermula daripada tantrum hingga interaksi negatif dengan rakan sebaya lain, perangai anak yang agresif secara fizikal pastinya perlu ditangani segera.

Sebagai contoh, bagi anak dengan CD, perwatakan ini mungkin akan dikembangkan dengan mencederakan haiwan pula.

Secara keseluruhan, anak akan mungkin lebih terlibat dalam pengaduhan dan sukar mendengar kata.


4. Menyalahkan individu lain

Apabila anak berkelakuan buruk, adakah mereka akan menyalahkan individu lain?

Secara umumnya, ia adalah sikap anak yang biasa untuk mengelak daripada mendapat masalah. Tetapi bagi anak yang mempunyai gangguan tingkah laku, perwatakan ini akan lebih ketara dan kerap dilakukan.

Anda akan melihat perangai anak yang secara berterusan tidak mahu menggalas tanggunjawab serta keengganan untuk menanggung kesalahan mereka sendiri.


5. Tingkah laku antisosial

Jangan tersilap ya parents, sikap malu dan antisosial tidak sama. Biasanya kanak-kanak lelaki yang menghidap 'conduct disorder' akan lebih cenderung menunjukkan tingkah laku antisosial berbanding kanak-kanak perempuan.

Tingkah laku antisosial yang teruk pada fasa awal kanak-kanak akan membawa kepada diagnosis CD atau ODD.

Sebagai ibu bapa, anda juga akan melihat pelanggaran peraturan sosial, mengingkari autoriti dan mengabaikan individu lain.

Umumnya, seorang kanak-kanak cenderung meneruskan tingkah laku yang sama apabila diberikan penghargaan dan menghentikannya apabila tidak diendahkan.

Konsistensi tindak balas anda terhadap perangai anak adalah penting.

Ini kerana jika anda pernah memberi pujian di atas sikap anak yang tertentu, tapi pada hari lain hukuman diberikan untuk tingkah laku yang sama, ia boleh menyebabkan mereka keliru.

Apabila anda menganggap tingkah laku anak sebagai keadaan yang mendatangkan masalah, tiga pilihan berikut boleh dilakukan:


Perlu diingat bahawa adalah perkara biasa bagi anak-anak membuat perangai sekali-sekala.

Ini merupakan satu proses perkembangan yang perlu dilalui oleh anak anda.

Tetapi, jika masalah tingkah laku tidak bertindak balas terhadap strategi disiplin atau sikap anak mula menjejaskan pelajaran dan hubungan rakan sebaya, berbincanglah dengan pakar pediatrik.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)


Artikel asal disiarkan di Pa&Ma


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !