PERKATAAN influencer bukanlah satu perkataan yang baharu dalam hidup masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda.

Jika menjengah ke sosial media, nama-nama seperti seperti Khairulaming, Sugu Pavithra, Aisyah Cupcake dan juga pelakon, Neelofa sentiasa menjadi sebutan ramai.

Namun, pada zaman media sosial kini, ramai yang mengejar untuk bergelar seorang influencer sehingga mereka sendiri tidak memahami apakah makna di sebalik panggilan tersebut.

Tetapi dalam mengejar untuk bergelar influencer, siapakah sebenarnya yang mengangkat mereka ini?

Netizen, media atau ada yang sanggup self-proclaim?

Menurut Dewi Remaja 2020, Shaza Bae, netizen menjadi faktor utama untuk mengangkat seseorang itu sebagai influencer namun media juga memainkan peranan.

"Media sebenarnya memainkan peranan penting, sebab media pada masa kini banyak mengambil kisah-kisah mereka untuk disiarkan di platform mereka sehingga golongan ini dikenali ramai," katanya.

Timbul juga persoalan, adakah menjadi seorang influencer ini memerlukan pengikut yang ramai di laman media sosial?

Bagi, penata gaya, Azrul Samzard, pengikut disosial media hanyalah nombor semata-mata.

"Itu hanyalah nombor semata-mata, meskipun ia dilihat sebagai satu yang penting untuk menjadi seorang influencer yang bagus mereka perlu mempunyai content dan personaliti yang baik untuk dijadikan inspirasi kepada anak muda masa kini," katanya.

Personaliti TV, Syairul Islam juga menyatakan influencer perlu gunakan medium yang mereka ada sebaik-baiknya terutamanya pada saat Malaysia dan dunia menghadapi pandemik COVID-19.

Golongan ini seharusnya menasihatkan pengikut mereka untuk mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam memerangi COVID-19.

Malah bagi Syairul, influencer juga boleh menggunakan medium yang mereka ada untuk membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

Apa maksud influencer bagi anda?



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!