Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, akhirnya mendedahkan mahligai yang menjadi kediamannya untuk tatapan umum.

Ronaldo, 30, memberikan guided tour rumahnya itu kepada sebuah laman web sukan, Unscriptd Sport. Video itu kemudiannya dikongsi Ronaldo di akaun Facebook rasminya.

Rumah yang berharga kira-kira 4.8 juta pound (RM30 juta) itu terletak di sebuah kawasan perumahan mewah Pozuelo de Alarcon, Sepanyol. Kawasan berkenaan yang terletak 10 kilometer dari Madrid, juga merupakan kawasan kediaman beberapa rakan sepasukan Ronaldo, termasuk Gareth Bale.

Ia mempunyai tujuh buah bilik tidur, lapan bilik air, sebuah kolam renang dan sebuah padang bola sepak mini. Sebuah bilik khas juga diwujudkan untuk meletakkan semua trofi dan anugerah yang dimenangi.

Curious to see my house in Madrid? Take a look! Merry Christmas to all!

Posted by Cristiano Ronaldo on

Anak tunggal Ronaldo, Cristiano Ronaldo Jr, turut mempunyai bilik permainan sendiri.

Kapten Portugal itu menyatakan bilik tidur adalah ruang terpenting di rumahnya kerana untuk beraksi dengan baik di padang, dia memerlukan rehat yang cukup dan berkualiti.

Difahamkan, pemenang tiga kali anugerah Ballon d'Or FIFA itu dibayar RM1.7 juta seminggu bersama Real Madrid.

Selain Sepanyol, Ronaldo juga mempunyai sebuah apartment mewah di New York, Amerika Syarikat yang dianggarkan berharga 11.8 juta pound (RM75 juta).