KEPALA BATAS: Rumah inap atau homestay dengan suasana kampung yang nostalgik, semakin diminati orang ramai yang ingin lari daripada hiruk-pikuk di bandar sekali gus memberikan peluang yang baik kepada pengusahanya meraih pendapatan lebih tinggi.

Antara rumah inap yang menawarkan gaya tradisional di negeri ini ialah Homestay Klasik ZJ terletak di Penaga di sini yang dikelilingi sawah padi, pokok kelapa serta rumah inap yang berkonsepkan rumah kayu tradisional Melayu pastinya mengimbau nostalgia kehidupan di kampung semasa zaman kanak-kanak.

Zulhisyam Jamaluddin, 42, yang memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional Pulau Pinang pada 2001 hingga 2018, terpaksa memikirkan bidang lain setelah berhenti kerana perlu menjalani pembedahan lutut.

Katanya, minat untuk mengusahakan rumah inap tradisional di samping sokongan orang di sekelilingnya mendorongnya membuka Homestay Klasik ZJ yang mula beroperasi Disember tahun lepas.

"Saya juga mengukir sendiri reka bentuk kayu untuk rumah inap berkenaan yang mengambil masa hingga tujuh bulan untuk siap sepenuhnya. Saya mendapat inspirasi dan idea daripada Facebook dan YouTube bagi reka bentuk dan ukiran corak zaman dahulu," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Zulhisyam Jamaluddin, 42, menunjukkan Homestay Klasik ZJ yang diusahakannya di Penaga dengan dikelilingi sawah padi, pokok kelapa serta berkonsepkan rumah kayu tradisional Melayu

Zulhisyam yang kini berkhidmat di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang berkata rumah inap yang diusahakan itu turut menyediakan basikal antik buat pengunjung meneroka sekitar kampung, tempat barbeku, buaian buatan tangan dan platform buluh untuk berehat di tepi sungai.

"Sambutan orang ramai sangat menggalakkan, kebanyakannya datang dari bandar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor yang memilih untuk menikmati suasana kampung di sini," katanya dan menambah harga untuk satu malam termasuk hujung minggu atau cuti umum ialah RM200 dan boleh menempah melalui laman Facebook Homestay Klasik ZJ.

Sementara itu, Abdul Raof Razalli, 63, seorang pesara berkata permintaan yang tinggi mendorongnya untuk membuka rumah inap berkonsepkan tradisional Kedah iaitu Permatang Rambai Homestay di Penaga.

"Orang dari bandar kini lebih gemar menginap di rumah tradisional kerana memberi mereka ketenangan dan kedamaian. Malah ada anak-anak yang tidak pernah merasai kehidupan di kampung, tidak pernah melihat sawah padi," katanya.

Beliau berkata dengan peningkatan kos sara hidup masa ini, orang ramai memilih untuk bercuti di rumah inap tradisional yang menawarkan harga lebih murah dan masakan kampung yang enak berbanding rumah inap moden.

"Harga yang saya tawarkan ialah RM180 satu malam tidak kira hujung minggu, hari biasa atau cuti umum. Layari laman Instagram kami dan Google untuk membuat tempahan," katanya.

-- BERNAMA