PARIT: Dalam usia melepasi separuh abad pasangan suami isteri, Ridzuan Talib, 71, dan Rajamah Man, 60, dari Kampung Tua, Tanjung Belanja, dekat sini, masih gigih mencari buah kabung atau buah kanto yang terhasil daripada pokoknya yang meliar di sekitar kawasan hutan sekitar sini.

Isi buah yang mempunyai rasa enak dan lembut jika dicampur dalam masakan mahupun minuman ini mempunyai permintaan tinggi terutama ketika bulan Ramadan dan menjadi makanan tradisi masyarakat di sini serta 'wajib' ada setiap kali bulan puasa menjelma.ini tetap

Pasangan ini telah mengusahakan jualan buah kabung diproses ini sejak kira-kira 40 tahun lepas bagi memenuhi permintaan penggemarnya.

Ridzuan mengaku, proses penyediaan isi buah kabung memang memakan masa di samping memerlukan teknik tertentu, dan oleh kerana ramai yang enggan mengusahakan jualan buah ini, pekerjaan ini semakin dilupakan.

"Kami ada pembeli serta pemborong tetap dari kawasan lain yang akan menelefon untuk membeli buah ini apabila tiba bulan puasa, mana yang sudah biasa mereka akan datang sendiri ke rumah, jadi selagi ada kudrat saya dan isteri akan usahakan.

"Kami hanya buat isi buah kabung yang sudah diproses sahaja, kalau kita lihat yang bergantung di gerai tu sudah dimasak dengan sirap atau pandan, kalau yang mentah saya jual pun boleh mencecah purata 30 kilogram sehari," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Ridzuan merebus buah kantor atau buah kabung sebelum proses mengupas untuk mendapatkan isinya. - Gambar Bernama


Buah kantor atau buah kabung yang diambil di pokok yang meliar sekitar kawasan hutan di Kampung Tua, Tanjung Belanja, Parit, Perak. - Gambar Bernama

Beliau berkata, tidak semua orang mampu bertahan mencari buah itu kerana sifat semula jadi buah berkenaan yang menyebabkan rasa gatal dan miang jika getahnya terkena kulit.

"Tidak semua orang sanggup memanjat pokok kabung bagi memotong tandan buahnya, itu belum lagi kesan calar pada badan ketika memanjat yang sudah menjadi kebiasaan. Sejak 10 tahun kebelakangan ini ramai pengusaha yang sudah meninggalkan perniagaan ini.. mungkin mereka rasakan tidak berbaloi atau penat menghadap proses menghasilkannya," katanya.

Beliau berkata, walaupun terlalu sedikit pengusaha buah kabung ketika ini namun beliau dan isteri sedaya upaya berusaha memastikan ia terus muncul di pasaran terutama ketika Ramadan untuk dijadikan juadah pemanis mulut ketika berbuka puasa.

"Tahun ini Tuhan masih berikan kudrat kepada saya untuk hasilkan isi buah kantor dan saya bersyukur ada tunggal lelaki, Niat Ridzuan, 33, menunjukkan minat untuk mengusahakan perusahaan ini.

"Jika saya tiada kelak saya sudah ada pewaris untuk usahakan makanan tradisi yang begitu popular di Perak Tengah dan menjadi harapan saya agar buah kanto ini akan terus menjadi makanan tradisi untuk generasi akan datang," katanya. - BERNAMA

Buah kantor atau buah kabung yang dimasak dengan perisa sirap dan boleh dimakan ketika berbuka puasa sempena Ramadan yang dijual di tepi jalan utama di Kampung Tua, Tanjung Belanja. - Gambar Bernama