Salah satu perayaan Islam yang paling meriah disambut ialah, Raya Aidilfitri. Perayaan ini secara meluas terkenal di semua negara-negara kehadiran umat Islam. Walaupun adat di negara lain hampir sama seperti negara Malaysia, namun mereka mempunyai cara yang tersendiri dalam menyambut perayaan Aidilfitri.

Berikut antara negara yang menyambut Aidilfitri secara meluas selain Malaysia;

Mesir

Di Mesir, Hari Raya Aidilfitri disambut selama tiga hari dan tiga hari ini diistiharkan sebagai cuti umum di negara tersebut. Hari Raya bermula dengan solat Raya yang akan dihadiri oleh kanak-kanak, golongan lelaki serta golongan wanita. Malah, di Mesir, Raya Aidilfitri diucap sebagai ‘Eid Mubarak’.

Bangladesh

Di Bangladesh, Aidilfitri digelar sebagai Eid al-Fitr, di mana perayaan ini akan menyaksikan cuti umum selama tiga hari dan Institusi pendidikan secara amnya akan ditutup selama seminggu. Bangladesh akan memulakan Raya dengan solat wajib, dan kemudian melawat rakan-rakan dan saudara-mara serta memberi zakat fitra.

Pakistan

Pada hari Raya, umat Islam di Pakistan akan berkumpul di kawasan terbuka seperti padang awam ataupun padang sukan untuk menunaikan solat Raya.

Bukan itu sahaja, orang ramai diwajibkan memberi sedekah bagi pihak ahli keluarga mereka kepada golongan miskin sehari sebelum Hari Raya atau sekurang-kurangnya selepas solat Hari Raya. Perbuatan ini dipercayai akan memberi peluang kepada semua pihak untuk menyambut perayaan ini.

Indonesia

Di Indonesia, Aidilfitri dikenali sebagai Idul Fitri, dan popular sebagai Lebaran. Malam sebelum Idul Fitri dipanggil takbiran. Jalan raya dan musalla akan dibanjiri orang ramai sambil melaungkan takbir raya. Pelita atau minyak lampu pula akan dinyalakan di luar dan di sekitar kawasan perumahan di Indonesia, khususnya di kawasan luar bandar.

India

Manakala di India pula, malam sebelum Hari Raya dipanggil sebagai ‘Chand Raat’, yang bermaksud, "Malam Bulan." Wanita terutamanya golongan gadis muda akan memakai inai tradisional atau Mehndi, pada tangan dan kaki mereka sebagai tanda sambutan.

Pada hari raya, banyak tempat-tempat popular di India seperti Masjid Mekah di Hyderabad, Aishbagh Idgah di Lucknow, Jama Masjid di New Delhi akan dijadikan sebagai tempat untuk meraikan raya.