PERNAHKAH ada dalam kalangan anda yang pernah melihat gambar ini?

Namanya, Muhammad Sarim Akhtar dan dia adalah rakyat Pakistan.

Sudah pasti ramai yang ‘terbiasa’ dengan gambar ini. Mana tidaknya, wajah lelaki ini yang mencekak pinggang dengan riak wajah marah, kecewa ini dijadikan ‘meme’ yang kemudiannya tular di seluruh dunia.

Siapakah lelaki itu dan mengapakah dia membuat reaksi sebegitu?

Mari, Astro AWANI kongsikan dengan anda kisahnya. 

Namanya, Muhammad Sarim Akhtar dan dia adalah rakyat Pakistan. Wajahnya mula menjadi sensasi internet apabila reaksinya mencuit hati jutaan warganet.


Ramai berpendapat reaksinya benar-benar memaparkan kekecewaan dan dengan pantas, dia digelar ‘Angry Pakistani fan’, lapor RepublicWorld.com.

Sarim Akhtar yang menetap di London menceritakan kisah di sebalik wajahnya itu kepada International Cricket Council (ICC).

Menurutnya, dia berang kerana pemain kriket Pakistan melepaskan bola dengan mudah ketika negara itu sedang menentang Australia dalam Piala Dunia Kriket.

Dia yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya secara spontan melakukan aksi itu dan kamera juga pantas merakam kelakuannya yang berada betul-betul di belakang pemain kriket itu.


Menerusi temu bual bersama ScoopWhoop, Sarim Akhtar berkata, dia pada asalnya tidak berhasrat untuk hadir ke perlawanan itu walaupun dia amat meminati kriket.

Lagipun, dia baru sahaja berpindah dan membeli kereta baharu, jadi dia fikir lebih baik duduk di rumah dan menonton perlawanan itu melalui televisyen.

Namun, rakannya yang baru sampai ke London dari Dubai bersungguh-sungguh mengajaknya, akhirnya Sarim Akhtar bersetuju.


Pada detik itu, dia tidak pernah menyangka hari itu bakal mengubah hidupnya.

“Sebagai seorang peminat kriket yang biasa-biasa sahaja, saya tidak pernah menyangkan boleh mendapat populariti sebegini rupa.

“Sebenarnya, ia berlaku sangat pantas juga. Sebaik saya duduk selepas rakaman itu, saya dapat banyak mesej dari kawan-kawan mengatakan nampak saya dalam televisyen.

“Tak lama lepas itu, ‘meme’ itu mula tersebar. Orang yang duduk sebelah saya mula bertanya adakah saya yang dijadikan ‘meme’ itu. Semuanya berlaku dalam stadium itu juga, dari situ saya sudah mula popular,” katanya.

Tambahnya, sebaik perlawanan berakhir, wartawan datang kepadanya dan beritahu wajahnya tular di seantero dunia.

“Wartawan itu kata dia mahu menemu bual saya. Wah, saya rasa seperti di awang-awangan pada waktu itu,” ujarnya.


Katanya lagi, adik-beradik, saudara-mara, kawan-kawannya juga teruja selepas dirinya menjadi sensasi internet.

Selepas lebih setahun, popularitinya tidaklah sehebat dulu namun wajahnya masih digunakan sehingga kini, termasuk di Malaysia.

Wajahnya dipakai dengan begitu kerap namun Sarim Akhtar tidak kisah malah mengakui ada beberapa ‘meme’ yang dia suka - malah membuatkannya tergelak juga.

Begitulah hebatnya penangan media sosial.

Sekelip mata, anda boleh jadi popular - sama ada dipuji, dikecam, diketawa atau apa sahaja.

Apa yang pasti, gunakanlah media sosial ke arah yang baik, bukan sebaliknya.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!