KUCHING: Hampir menjadi rutin buat Julia Unsing untuk singgah bersarapan mi kolok di restoran kegemarannya Sainah Cafe di Stutong di sini, apabila tamat kerja syif malam pada 8 pagi.
Bekerja di sebuah kilang yang terletak kira-kira lima kilometer dari restoran itu, Julia, 36, mengunjungi Sainah Cafe sekurang-kurangnya tiga kali seminggu sejak 2018, sama ada bersendirian atau bersama-sama rakan sekerja.
"Saya sudah menjadi pelanggan setia sejak pemilik kafe ini masih lagi menyewa ruang di sebuah premis makanan bertentangan Pasar Komuniti Stutong," kata wanita berketurunan Iban dan beragama Kristian itu kepada Bernama.
Sambil meneguk teh tarik ais - "teh tarik peng" bagi komuniti tempatan - Julia berkata adakala dia datang pada hujung minggu kerana kediamannya tidak jauh dari kafe itu, semata-mata mahu memenuhi keinginan seleranya.
"Jika datang sendirian, saya akan duduk semeja dengan siapa-siapa sahaja, tidak kira kaum dan agama," ujar anak jati Lubok Antu tersebut.
Mi kolok - mi sanggul yang direbus dan ditus serta dihidangkan bersama-sama sup jernih sebagai kuah dan sos kicap - dibawa masuk ke Sarawak oleh kaum Cina yang berhijrah ke negeri itu. Pada asalnya hidangan ini tidak halal kerana menggunakan daging dan lemak khinzir, namun peredaran masa dan asimilasi kaum menyaksikan ramuan diubah suai agar dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai agama.
(Sumber: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara)
DIOLAH MENYAMAI RESIPI ASAL
Sedar akan pentingnya persefahaman antara kaum dan perpaduan sesebuah masyarakat majmuk, pemilik Sainah Cafe, Sainah Mahdi, 41 dan suami, Mohammad Ariffin Liew Abdullah, 47, seboleh-bolehnya mahu semua kaum menikmati makanan tradisi Sarawak termasuk yang pada asalnya tidak halal, tanpa menjejaskan rasa sebenar hidangan itu.
Menurut Sainah, idea itu tercetus apabila beliau berkahwin dengan suaminya yang berketurunan Cina.
"Sewaktu mula-mula berkenalan (pada 2006), suami ada mengajak saya makan mi kolok yang merupakan makanan kegemarannya, tetapi dia tidak berani makan di depan saya kerana tidak halal. Dari situlah tercetus idea untuk menghasilkan mi kolok yang boleh kami nikmati bersama," katanya.
Pasangan itu yang berkahwin pada 2008, membuka gerai makan menjual mi kolok dan laksa Sarawak pada 2017.
"Mi kolok kami menyamai rasa mi kolok asli kerana daging ayam (menggantikan daging khinzir) kami masak dengan kaedah char siu (daging khinzir panggang), selepas diperap dengan madu dan beberapa lagi elemen manis serta rempah-ratus," jelas Sainah, menambah mereka juga meletakkan cendawan yang dicencang.
Lazimnya, mi kolok halal di tempat lain hanya dihidangkan bersama-sama cabikan daging ayam yang direbus dan tiada cencangan cendawan.
Selain itu, Sainah Cafe juga menawarkan tiga jenis sos mi kolok yang masing-masing memberikan rasa manis (berwarna merah), masin (kicap) dan biasa (tanpa warna), membolehkan pelanggan memilih mengikut cita rasa masing-masing.
"Masyarakat Melayu lebih gemar sos manis, manakala pelanggan Cina pula suka sos biasa," celah Mohammad Ariffin Liew.
Menurutnya, beliau mengambil masa dua tahun untuk mengolah resipi asal bagi memastikan rasa hidangan itu seasli mungkin.
"Lebih banyak bahan yang perlu saya gunakan untuk menghasilkan menu ini jika dibandingkan dengan resipi asli," katanya, menambah sekalipun hanya menjual dua jenis hidangan, gerai kecil mereka menerima sambutan yang amat menggalakkan.
"Tak kurang 200 mangkuk mi terjual setiap hari," kata beliau.
SELERA PELBAGAI KAUM
Pada 2021, pasangan itu membuka restoran sendiri selain mempelbagaikan menu termasuk nasi goreng "seafood", nasi goreng ayam dan kuetiau. Semuanya adalah air tangan Mohammad Ariffin Liew yang memang minat memasak.
Beroperasi dari 7 pagi hingga 2.30 petang setiap hari kecuali Ahad, kafe itu menjadi tumpuan pelanggan pelbagai bangsa dengan kebanyakannya memilih hidangan mi kolok, mi kampua, mi wantan dan laksa Sarawak.
Susulan sambutan yang diterima begitu menggalakkan pasangan ini bercadang mengembangkan perniagaan mereka termasuk melanjutkan waktu operasi agar lebih ramai ahli masyarakat dapat menikmati hidangan di restoran mereka.
Selain pekerja kilang, kafe itu turut menjadi tumpuan pelajar Sarawak Skills, antaranya ialah Mathius Hanson, 20.
Menurut anak kelahiran Serian itu, dia suka datang ke kafe berkenaan bukan sahaja kerana makanannya sedap dan harga berpatutan, tetapi juga suasana yang begitu harmoni.
"Boleh dikatakan tiga ke empat kali seminggu kami akan datang bersarapan di sini sebelum ke kelas," katanya yang menggemari hidangan mi kampua manis.
Penulis turut mengambil peluang menikmati sepinggan mi kolok. Sepanjang berada di kafe itu, pelanggan pelbagai kaum kelihatan tidak kekok duduk semeja menjamu selera walaupun saling tidak mengenali, membuatkan penulis teringat kata-kata Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang kelima.
"Ini Sarawak punya olang, bisi Melayu, bisi orang Cina, bisi orang Dayak, bisi orang Bidayuh, duduk sama, minum sama, makan sama, carik amoi pun sama," kata Allahyarham yang bermaksud "Rakyat Sarawak ini ada orang Melayu, Cina, Dayak, Bidayuh, boleh duduk bersama, minum bersama, makan bersama, cari gadis pun bersama."
Keakraban dan persefahaman antara etnik di Sarawak bukan sesuatu yang dibuat-buat kerana hakikatnya bukan perkara luar biasa jika sesebuah keluarga mempunyai ahli yang menganut agama berbeza dan berkahwin dengan kaum lain, membuatkan negeri ini seringkali dijadikan rujukan oleh negeri-negeri lain dalam memupuk perpaduan rakyat membentuk Malaysia Madani.
-- BERNAMA
Bernama
Sat Aug 19 2023
Sainah Cafe menawarkan tiga jenis sos mi kolok yang masing-masing memberikan rasa manis (berwarna merah), masin (kicap) dan biasa (tanpa warna), membolehkan pelanggan memilih mengikut cita rasa masing-masing. --fotoBERNAMA
WTF: Tang Jie-Ee Wei hampiri kejuaraan, cipta sejarah
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghampiri gelaran juara Jelajah Dunia Akhir (WTF) Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas melangkah ke final edisi 2024 di Hangzhou, China, malam ini.
Karnival M6 jambatani komuniti e-sukan dengan khalayak umum
Sempena Kejohanan Antarabangsa Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) M6 di mana Malaysia menjadi tuan rumah buat kali kedua.
Jalur Gemilang terbalik pada jersi Zii Jia kecuaian kritikal - Fahmi
Kontroversi Jalur Gemilang terbalik pada jersi pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dianggap sebagai kesilapan ketara.
SAPP umum keluar daripada Perikatan Nasional - Presiden
Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini umum keluar daripada Perikatan Nasional - Presiden
Kos haji meningkat atau kekal diumum pada Isnin
Pengumuman kos bagi mengerjakan haji bagi tahun hadapan akan dibuat pada Isnin sekali gus menjawab persoalan sama ada berlaku peningkatan atau kos dikekalkan.
Jenazah bayi beku: Polis rekod keterangan doktor
Polis telah merakam keterangan empat individu pada Jumaat, berhubung kes jenazah bayi lelaki disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang.
'Allosaurus' & 'Stegosaurus' dibida £12.4 juta pound
Tiga rangka dinosaur dari era Jurassic berjaya dibida dengan nilai 12.4 juta pound pada Khamis. Bidaan itu yang berlangsung di London melibatkan dua fossil Allosaurus yang dijual berpasangan berjumlah 8.1 juta pound atau bersamaan 10.3 juta dolar Amerika.
Gempa bumi kuat 6.3 magnitud gegar Chile
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan wilayah tengah Chile termasuk ibu negara, Santiago pada Jumaat.
Francois Bayrou dilantik Perdana Menteri baharu Perancis
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang sedang berhadapan tekanan politik, semalam melantik sekutunya yang berhaluan tengah, Francois Bayrou, sebagai Perdana Menteri baharu bagi negara itu.
Penunjuk perasaan Korea Selatan berhimpun menjelang undi pemecatan Presiden kali kedua
Penunjuk perasaan berhimpun di luar Dewan Perhimpunan Nasional Korea Selatan menjelang undi pemecatan kedua Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Sabtu.
Mi Kolok Haji Salleh 'laku keras', pekerja tidak menang tangan
Permintaan Mi Kolok dari Restoran Sepinang Sari di Kuching sejak 1995 itu hari ini sungguh luar biasa.