Warga dunia bukan sahaja melangkah ke dekad baharu pada tahun ini.

Malah sambutan Tahun Baharu Cina 2020 adalah signifikan kerana ia menandakan permulaan baharu kitaran 12 haiwan Astrologi Cina.

Tahun ini merupakan giliran tikus pula mengikut kalendar masyarakat Cina.

Kali terakhir bagi elemen logam untuk tahun tikus ialah 60 tahun yang lalu iaitu 1960.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tikus membawa makna yang positif seperti mengambil peluang keemasan dan tekun berusaha bagi memajukan diri.

Mengambil kira falsafah lima elemen seperti kayu, tanah, air, api, dan logam, Pengarah Urusan Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Mini Goh Ming Lee berkata, tahun tikus logam menjadikan ciri-ciri tikus tersebut lebih terserlah.

“Jika anda mempunyai pemikiran yang baik dan bermoral, maka anda akan menjadi bijak dan pandai.

“Namun, jika anda terpesong fikiran dan tidak bermoral, anda akan menjadi sebaliknya. Oleh itu, ia bergantung kepada cara anda melihatnya.

“Saya percaya mereka yang dilahirkan pada tahun tikus adalah pandai, pintar dan bertenaga. Dan tikus merupakan simbol kesuburan dan orang Cina sukakannya kerana ia membawa kemakmuran,” kata Mini.

MINI: Sang tikus dikatakan paling serasi dengan zodiak monyet dan naga berbanding zodiak kuda dan kambing. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

Katanya lagi, tikus juga mempunyai beberapa sifat positif yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

Antaranya, kebolehan menyelesaikan sesuatu keraguan atau masalah dengan fikiran yang rasional dan bukannya terburu-buru.

“Mereka yang dilahirkan pada tahun tikus bakal mengalami perubahan. Anda boleh berubah dengan baik atau berubah menjadi buruk. Ia bergantung kepada bagaimana anda mahu meninggalkan zon selesa anda sekarang.

“Anda perlu berfikir langkah anda yang seterusnya. Keputusan yang anda buat sekarang akan menentukan jalan yang anda akan ambil.

“Anda juga akan dicabar. Keputusan yang anda buat akan menjadikan anda lebih baik atau buruk, bergantung kepada cara anda membuat keputusan itu,” nasihatnya.

Sang tikus dikatakan paling serasi dengan zodiak monyet dan naga berbanding zodiak kuda dan kambing.

Warna biru dan emas pula dipercayai merupakan warna yang akan membawa tuah kepada mereka yang dilahirkan pada tahun tikus.