Tetapi di bulan puasa ini, orang ramai terutamanya yang bekerja, masih lagi terus mengunjungi bazar Ramadan untuk mendapatkan pelbagai jenis makanan untuk berbuka.
Lazimnya, bazar Ramadan dikunjungi memandangkan ia memudahkan orang ramai mendapatkan juadah di bawah satu ‘bumbung’.
Seminggu di Kuala Lumpur, seminggu di Kelantan membolehkan saya membuat pemerhatian juadah-juadah tertentu dan unik terdapat di dua lokasi ini.
Di Kuala Lumpur, apa yang menarik terdapat di bazar Ramadan tentunya Roti John, Murtabak dan Nasi Arab.
Namun, sebut sahaja Kelantan, antara yang pasti terbayang ialah pelbagai juadah tradisional, sesetengahnya dengan nama unik yang bukan sahaja menjadi kegemaran penduduk negeri ini tetapi juga orang luar.
Dari nasi kepada lauk-pauk, kuih-muih serta minuman, semuanya memiliki rasa yang tersendiri dan amat menyelerakan.
Berkesempatan pulang bercuti seminggu di kampung di Kelantan dan memerhati juadahnya, ini lima kuih atau hidangan yang secara eksklusif hanya ada di bazar Ramadan di Kelantan dan sukar diperoleh di Kuala Lumpur.
Jika ada tersedia yang di bazar Ramadan di Kuala Lumpur sekali pun, ia mungkin dijual oleh peniaga berasal dari Kelantan.
Lima juadah itu ialah:
1. Nekbat
Kuih ini hampir pupus, hanya ada semasa Ramadan. Jika di luar waktu bulan Ramadan, agak sukar untuk mendapatkan kuih ini sekali pun di pasar-pasar di Kelantan.
Kuih Nekbat merupakan kuih tradisional pencuci mulut yang bahan asasnya menggunakan tepung beras dan telur. Ada individu yang gemar memakan kuih Nekbat ini dalam keadaan kering dan bersama air gula atau disira.
Jika membeli yang kering, bagaimana kaedah masakannya sebelum dimakan?
Ya, perlu dimasak bersama air gula. Lebih sedap jika air gula itu diletakkan daun pandan dan bunga cengkih. Ia untuk beri aroma kepada kuih Nekbat itu.
Begini cara memasaknya:
Pertama sekali, masak air dan gula hingga mendidih sebelum masukkan daun pandan, cengkih dan Nekbat yang dibeli kering.
Disarankan masak sekitar 6 ke 8 minit dengan menggunakan api kecil dan biarkan air gula meresap ke dalam Nekbat sebelum dihidangkan.
Lupa maklumkan, ada tipnya masak kuih nebat.
Tipnya, 1 sudu gula untuk sebiji Nekbat.
2. Ketupat sotong
Juadah ini juga hampir tidak saya jumpa di bazar di Kuala Lumpur tetapi banyak dijual di mana-mana bazar Ramadan yang saya jejaki di Kelantan.
Jika namanya Ketupat Sotong, sudah tentu bahan utama adalah pulut dan sotong. Ya, dua bahan ini digunakan untuk menghasilkan Ketupat Sotong yang menjadi kegemaran warga Kelantan.
Sekali-sekala ada yang hasilkan Ketupat Sotong untuk hidangan petang. Ia sama seperti ketupat pulut biasa.
Yang bezanya, ketupat pulut biasa, daun atau balutannya ialah daun kelapa atau daun palas, tetapi Ketupat Sotong, kulitnya, tidak lain tidak bukan, sotong!
Rasanya lemak manis, datang dari pulut dan sotong serta bahan-bahan lain seperti gula merah dan santan yang diletakkan di dalamnya.
Jika enggan membeli di bazar Ramadan, boleh juga dibuat sendiri di rumah.
Caranya mudah sahaja.
Bersihkan sotong, masukkan pulut yang direndam santan cair ke dalam badan sotong. Kemudian tutup sotong dengan kepalanya dengan pencungkil gigi.
Masak sotong yang diisi pulut tadi dalam santan yang diletak sedikit halia, gula merah dan garam.
Dengan api sederhana kecil, tunggu Ketupat Sotong masak sebelum dihidangkan.
Senangkan? Selamat mencuba.
3. Sira pisang
Ini satu lagi hidangan yang menggunakan air gula, ya, sudah tentu manis rasanya. Tetapi tidak salah kurangkan gula untuk kurangkan tahap kemanisannya.
Jika di bazar di Kuala Lumpur dan Selangor, saya cuma jumpa pengat pisang atau pisang goreng, tetapi tidak Sira Pisang ini kerana ia hanya dijual di Kelantan.
Semasa kecil, setiap kali berbuka, mesti ada hidangan ini kerana ibu bapa saya sangat menggemarinya selain Nasi Kerabu.
Sira Pisang ini adalah salah satu manisan atau pencuci mulut popular di Kelantan.
Masakan tidak popular, rasanya sedap dan mudah pula cara memasaknya. Memang ramai suka menikmati juadah ni.
Kalau nak tahu, bila tiba bulan Ramadan ramai yang cari juadah ini di bazar Ramadan di Kelantan. Tapi sampai bila beli kan? Mesti ada juga rasa mahu masak sendiri. Betul tak?
Ikut sahaja cara dan langkah ini untuk mendapatkan sira pisang yang sedap lagi menyelerakan.
Cuma, mula-mula pesanannya, dapatkan pisang yang sesuai untuk hidangan ini, kebiasaannya Pisang Nangka.
Apabila sudah ada pisang, potong kecil-kecil dan masukkan ke dalam air larutan gula yang diletakkan bunga cengkih dan sedikit pewarna.
Biarkan seketika, sebelum angkat dan hidangkan untuk berbuka.
Satu lagi pesanannya, kurangkan jumlah air untuk dapatkan kuah yang likat dan memikat.
4. Teresek Jantung Pisang
Ini sebenarnya hidangan unik semasa kenduri kahwin di Kelantan. Tetapi, semasa bulan puasa, ia turut sama dijual di bazar Ramadan.
Uniknya juadah ini, tidak ramai yang pandai menghasilkan Teresek Jantung Pisang yang sedap dan terangkat. Tambahan pula, banyak bahan digunakan bagi menghasilkan juadah ini.
Teresek Jantung Pisang ini adalah salah satu juadah tradisional kegemaran ramai yang dihasilkan dari jantung pisang yang dimasak bersama serbuk kari dan juga ramuan-ramuan lain.
Memang sangat sedap. Terasa pedas, masin dan manis yang seimbang, memang tidak jemu menikmatinya. Kebiasaannya, hidangan lauk ini dimakan bersama nasi putih hangat.
Ini resepi Teresek Jantung Pisang yang banyak didapati di bazar Ramadan di Kelantan.
Bahan-bahan:
1. Ayam dipotong kecil, diambil bahagian kaki, leher, hati, pedal (boleh juga ambil bahagian isi jika suka)
2. 1 biji jantung pisang dipotong nipis dan direndam air garam seketika
3. Santan pekat
4. Cili kering/Cili merah
5. Bawang merah, bawang putih
6. Halia
7. Lengkuas
8. Serbuk kari
9. Kerisik
10. Gula melaka
11. Garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:
Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih, halia dan lengkuas.
Tumiskan semua bahan kisar dan serbuk kari hingga pecah minyak, masukan ayam, apabila ayam telah masak, masukkan santan, jantung pisang dan cili merah dan kerisik.
Renehkan sehingga masak dan pekat. Perasakan kesemua bahan dengan masukkan gula, garam dan gula Melaka.
Jika orang Kelantan, mereka gemar rasa manis sikit kerana baru sedap katanya.
5. Kuih beko
Rupanya seperti Akok (satu lagi makanan tradisi dari Kelantan, tetapi banyak dijual di bazar Ramadan), tetapi kuih Beko bukan Akok.
Ia adalah sejenis kuih yang berasaskan nyiur (parutan kelapa) dan merupakan salah satu kuih tradisional Kelantan yang terkenal.
Terdapat ramai peniaga yang menjual kuih ini lebih-lebih lagi semasa bulan puasa bagi dijadikan juadah berbuka. Kuih ini juga banyak dijual di pasar di Kelantan.
Apa yang unik, kuih ini rangup di luar dan kenyal di dalam. Bagi penduduk tempatan asal dari Kelantan, mereka suka menikmati kuih ini semasa panas ketika musim hujan.
Kuih Beko ini rasanya manis dan diperbuat daripada tepung gandum serta diadun bersama kelapa muda.
Dengan kata lain, kulit luarnya rangup tetapi di dalamnya lembut dan berlemak kerana parutan kelapa itu.
Jadi, kuih atau juadah apa yang menarik minat anda semua?
Jika ada di Kelantan, boleh cuba salah satu daripada lima juadah yang dicadangkan.
Selamat mencuba dan selamat berbuka puasa…