Senaman yoga memberi manfaat yang berterusan kepada minda dan tubuh badan kerana ia bukan sahaja dapat menjaga kesihatan tetapi satu bentuk terapi untuk relakskan tubuh dan membantu mengekalkan minda yang sihat.

Semasa Sambutan Yoga Antarabangsa kedua yang diadakan di sini pada Ahad, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, T.S Tirumurti ketika ditemui Bernama berkata India mengakui bahawa semakan ramai rakyat Malaysia mengamalkan yoga kerana menyedari kesan positif yoga secara keseluruhan.

"Kami memulakan Sambutan Yoga Antarabangsa yang pertama sebagai inisiatif oleh Perdana Menteri India Narendra Modi untuk membawa yoga, satu bentuk senaman tertua India ke peringkat global termasuk Malaysia.

"Minat terhadap yoga begitu tinggi di sini dan semasa sambutan yoga yang pertama tahun lepas, ramai yang hadir dan seperti tahun ini, kami terpaksa menolak penyertaan kebanyakan mereka yang berminat kerana penyertaan sudah penuh," katanya.

Beliau berkata yoga adalah bentuk terapi yang sihat untuk tubuh badan fizikal dan minda kerana ia boleh meningkatkan kesihatan termasuk kesihatan mental kerana yoga dapat membantu menangani kemurungan.

Beliau berkata faedah yang diperoleh dengan mengamalkan yoga ialah antara lain dapat mengatasi tekanan hidup terutama mereka yang sentiasa menjalani kehidupan yang tertekan dan diselubungi kebimbangan.

Ketika ditanya sama ada senaman yoga perlu digalakkan di tempat kerja, Tirumurti berkata ia sudah menjadi sebahagian daripada amalan di beberapa negara apabila kakitangan awam dan pegawai polis melakukan senaman yoga di tempat kerja.

"Ya, saya fikir ia perlu diperkenalkan di tempat kerja. Senaman yoga selama 10 minit di tempat kerja memberi manfaat, ramai yang menjalani kehidupan seharian yang tertekan dan kurang tidur serta diselubungi kebimbangan tetapi yoga boleh membantu mengubah gaya hidup seseorang menjadi lebih baik," katanya.

Sementara itu, bekas pemain tenis nombor tiga dunia dari India dan pemain Asia yang pertama menjuarai acara perseorangan remaja lelaki Wimbledon pada 1954, Ramanathan Krishnan semasa berucap pada majlis itu berkata, tenis dan yoga mempunyai persamanaan antara satu sama lain.

"Sebagai pemain tenis, saya mengakui bahawa Yoga memberi manfaat untuk kesihatan seperti meningkatkan teknik pernafasan dan pada masa yang sama membantu memperbaiki daya tumpuan melalui meditasi.

"Senaman Yoga adalah mudah, lancar, perlahan dan membantu seseorang memperoleh ketahanan tambahan dan kelenturan otot dengan mengamalkannya," kata pemain yang kini sudah berusia 79 tahun kepada 500 orang ahli meditasi.

Hari Yoga Antarabangsa disambut pada 21 Jun dan disokong oleh kerajaan India, Kementerian Hal Ehwal Luar, Kementerian Ayush dan Majlis India bagi Hubungan Kebudayaan (ICCR).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam merasmikan acara itu yang dihadiri oleh kira-kira 500 pengamal yoga.