KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengingatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 supaya tidak terlalu menekan diri dan menghadapi peperiksaan bertulis yang bermula esok dengan tenang.
Beliau berkata calon perlu yakin dengan segala usaha yang telah dilakukan sepanjang membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu.
“Tidur awal, rehat secukupnya dan masuklah ke dewan peperiksaan esok dengan hati yang tenang. Percayalah pada segala usaha yang telah anak-anak lakukan selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fadhlina turut menyeru ibu bapa dan guru supaya terus memberikan semangat serta menitipkan doa buat calon.
“Anak-anak kita perlukan keyakinan bahawa apa pun keputusannya nanti, kita tetap bangga dengan usaha mereka,” katanya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon dan mendoakan mereka agar dapat melakukan yang terbaik.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), sebanyak 420,879 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara, dengan peperiksaan bertulis berlangsung dari 23 Nov hingga 17 Dis.
-- BERNAMA