BERLIN: Negeri California di Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan hari peringatan khas bagi penyanyi AS Dolly Parton yang meninggal dunia baru-baru ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Gabenor Gavin Newsom menandatangani rang undang-undang berkenaan pada Ahad yang menetapkan Hari Dolly Parton akan disambut setiap tahun pada 25 September mulai sekarang.
Tarikh itu dipilih berdasarkan mainan kata yang dikaitkan dengan lagu terkenal Parton, Nine to Five -- apabila ditulis dalam angka, tarikh berkenaan dibaca sebagai “9-2-5”.
“Dengan rang undang-undang ini, kita bukan sekadar menetapkan satu hari untuk meraikan Dolly Parton, malah mewujudkan peringatan tahunan kepada kita, setiap tahun, untuk menjalani kehidupan seperti beliau -- dengan penuh kegembiraan, kebaikan budi dan sepenuh hati,” kata Newsom dalam pengumuman itu.
Undang-undang berkenaan memberikan penghormatan kepada Parton sebagai penyanyi, penulis lagu, pelakon dan dermawan.
Parton, yang meninggal dunia pada usia 80 tahun, merupakan ikon muzik country.
Parton turut dikenali kerana kerja amalnya, dengan yayasan Imagination Library miliknya mengagihkan lebih 300 juta buku kepada kanak-kanak di seluruh dunia.
Legenda muzik country itu, yang terkenal menerusi lagu popular termasuk Jolene, Nine to Five dan I Will Always Love You, meninggal dunia pada 25 Ogos di Nashville.
-- BERNAMA-dpa