SEOUL: Kerajaan Korea Selatan pada Rabu memaklumkan bahawa ia akan menaikkan tahap amaran keganasan rasmi menjelang persembahan kemunculan semula kumpulan K-pop BTS di pusat bandar Seoul hujung minggu ini.
Amaran itu akan dipertingkatkan kepada tahap kedua terendah iaitu "berjaga-jaga" dalam skala empat peringkat daerah Jongno dan Jung bermula tengah malam Rabu hingga tengah malam Sabtu, menurut Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Yonhap.
Advertisement
Konsert BTS dijadual berlangsung di Dataran Gwanghwamun di Jongno pada Sabtu, dengan jangkaan kehadiran ratusan ribu peminat dan pengunjung dari seluruh dunia.
Kerajaan berkata tahap amaran itu diselaraskan susulan arahan Perdana Menteri Kim Min-seok supaya langkah keselamatan yang bersesuaian dirangka, selain mengambil kira ancaman keganasan yang tidak boleh diketepikan berikutan keadaan keselamatan global semasa.
Agensi berkaitan merancang untuk meningkatkan rondaan di lokasi dan kemudahan utama serta memperkukuh sistem tindak balas bersama sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan.
-- BERNAMA-YONHAP