LOS ANGELES: Penyanyi legenda Madonna menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat memulangkan beberapa kostum vintaj miliknya yang dilaporkan hilang selepas Festival Muzik Coachella pada hujung minggu lalu.
Dalam satu hantaran di Instagram, Madonna berkata pakaian berkenaan bukan sekadar busana pentas, sebaliknya merupakan sebahagian penting daripada sejarah kerjayanya.
Advertisement
Antara yang hilang ialah jaket ungu, korset dan gaun yang dipakainya semasa membuat penampilan khas mengejut bersama Sabrina Carpenter di acara itu pada malam Jumaat.
“Saya berharap ada insan berhati mulia yang menemui barangan ini dan menghubungi pasukan saya,” tulis Madonna, sambil memaklumkan beliau menawarkan ganjaran bagi pemulangan kostum tersebut dengan selamat.
Kostum itu mempunyai nilai sentimental tinggi buat penyanyi berusia 67 tahun itu kerana beliau pernah memakai but, korset dan jaket yang sama ketika membuat persembahan di Coachella 20 tahun lalu.
Madonna menyifatkannya sebagai detik “penuh makna dan seperti satu kitaran lengkap”.
Beberapa barangan lain daripada arkib peribadinya dari era yang sama juga dilaporkan hilang.
Polis Indio dalam satu kenyataan berkata pakaian dan barang kemas berkenaan kali terakhir dilihat berada di atas sebuah kereta golf di kawasan festival sekitar jam 1.30 pagi Sabtu.
Pihak polis bagaimanapun berkata tiada bukti menunjukkan ia dicuri dengan sengaja dan tidak menolak kemungkinan barangan itu terjatuh ketika dipindahkan.
Semasa persembahan tersebut, Madonna dan Carpenter menyanyikan lagu Vogue dan Like A Prayer, selain memperkenalkan sebuah lagu baharu daripada album akan datang Madonna, 'Confessions II', yang dijadual dikeluarkan pada Julai ini.