Skip to main content

Dunia

Wanita warga AS mengaku tidak bersalah cuba bunuh Rihanna

Sumber: REUTERS
Seorang wanita warga Amerika Syarikat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh penyanyi terkenal, Rihanna, dalam satu kejadian yang dilaporkan berlaku pada awal bulan ini.

LOS ANGELES: Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh penyanyi terkenal, Rihanna, dalam satu kejadian yang dilaporkan berlaku pada awal bulan ini.

Tertuduh, Ivana Lisette Ortiz, membuat pengakuan tersebut di mahkamah bagi semua 14 pertuduhan yang dihadapinya, termasuk satu pertuduhan cubaan membunuh serta 10 pertuduhan serangan menggunakan senjata api separa automatik.

Advertisement

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Los Angeles, Alexander Bott, tindakan tertuduh disifatkan sebagai berbahaya dan berpotensi mengorbankan ramai nyawa.

“Tertuduh telah menunjukkan kesediaan untuk menggunakan senapang berkuasa tinggi di kawasan perumahan, sekali gus meletakkan banyak nyawa dalam keadaan berisiko. Ini merupakan jenis perbuatan yang dengan mudah boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai kes pembunuhan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa tertuduh berisiko untuk melarikan diri ketika tempoh sesi perbicaraan dilihat akan dipanjangkan.

“Tertuduh juga berisiko melarikan diri. Beliau berasal dari Florida, bukan penduduk tempatan dan kini berdepan hukuman penjara seumur hidup dengan pertambahan pertuduhan melibatkan penggunaan senjata api. 

"Atas semua sebab itu, jumlah ikat jamin semasa adalah wajar dan perlu bagi melindungi keselamatan orang awam, dan pihak pendakwaan memohon agar ia dikekalkan,” tambahnya

Sehubungan itu, Hakim Theresa McGonigle menolak permohonan pihak pembelaan untuk mengurangkan jumlah jaminan Ortiz yang ditetapkan sebanyak AS$1.875 juta.

Selain itu, mahkamah turut tidak membenarkan Ortiz, 35, untuk meneruskan operasinya sebagai ahli terapi pertuturan sepanjang prosiding kes berlangsung.

Difahamkan, hakim turut memaklumkan bahawa tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup sekiranya disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, ketika kejadian dilaporkan berlaku, Rihanna bersama pasangannya, A$AP Rocky, serta tiga anak mereka berada di dalam rumah. 

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ortiz kemudiannya dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum berjaya ditahan tidak lama selepas itu di Los Angeles.

Dalam perkembangan sama, pihak polis turut menemui sepucuk senapang serta seutas rambut palsu yang dipercayai digunakan sebagai penyamaran di dalam kenderaan suspek. - Agensi

Must Watch Video