Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Anak seni tanah air terhutang budi kepada Krishnan, warnai industri filem Melayu

KUALA LUMPUR, 14 Mei - " Primadona Filem Melayu Klasik, Datuk Rosnani Jamil ketika berkongsi pengalaman dalam bidang perfileman semasa Siri Sembang-Sembang Sejarah, Persatuan Sejarah Malaysia di Dewan Aminuddin Baki, Wisma Sejarah hari ini. - fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Rosnani (kiri) dan Afdlin masing-masing menyimpan kenangan manis mengenai L. Krishnan yang disifatkan banyak berjasa dalam dunia perfileman tempatan. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Anak-anak seni menyifatkan mendiang Tan Sri L. Krishnan sebagai tokoh yang banyak berjasa dalam mewarnai dan membentuk perjalanan industri filem Melayu.

Sumbangan dan dedikasi beliau bukan sahaja meninggalkan kesan kepada perkembangan dunia perfileman malah menjadi sebahagian daripada sejarah serta legasi seni yang terus dikenang hingga ke hari ini.

Tokoh perfileman negara dan penerima Anugerah Merdeka 2016 itu, yang banyak menyumbang kepada perkembangan awal industri filem Melayu, meninggal dunia di Chiang Mai, Thailand semalam pada usia 104 tahun.

Seniwati veteran Datuk Rosnani Jamil ketika dihubungi Bernama menyifatkan pemergian Krishnan sebagai satu kehilangan besar kepada industri filem Melayu.

Rosnani terhutang budi kepada Krishnan kerana pengarah itu memilihnya untuk menjalani uji bakat selepas melihat beliau menari joget pada 1951 walaupun ketika itu dia tidak pernah bercita-cita menjadi pelakon.

Malah Krishnan memilih Rosnani daripada kira-kira 15 penari joget untuk menjalani uji bakat dan beliau amat menghargai peluang yang diberikan itu, yang menjadi titik mula kerjayanya sebagai pelakon.

“Saya tak pernah terfikir nak jadi bintang filem... saya hanya penari joget tetapi beliau memilih saya untuk menjalani uji bakat.

“Tanpa beliau, saya tidak tahu apa akan jadi pada saya... saya sangat terhutang budi kepada beliau,” katanya sambil menambah Lupa Daratan adalah satu-satunya filem lakonan beliau yang diarahkan Krishnan.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia Datuk Afdlin Shauki pula berkata Krishnan membantu membentuk asas industri filem Malaysia dan mengembangkan bakat lakonan termasuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Pengaruh beliau melangkaui filem-filem yang diarahkan... beliau membantu membina ruang kreatif untuk penggiat seni dan pembikin filem berkembang,” katanya

Bagi penerbit filem veteran Panchacharam Nalliah, atau lebih dikenali sebagai Pansha, beliau beberapa kali bertemu Krishnan namun tidak sempat bekerja dengannya kerana menyertai industri pada awal 1980-an, ketika tokoh itu sudah tidak lagi aktif membuat filem.

“Walaupun lebih senior, beliau bercakap dengan saya seperti kawan lama dan berkongsi cerita lama tentang zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas,” katanya.

Krishnan dilahirkan di Madras, India pada 1922 dan memulakan kerjaya perfileman selepas Perang Dunia Kedua sebelum berpindah ke Singapura pada 1949 untuk berkhidmat sebagai pengarah filem di Shaw Studio.

Sepanjang kerjayanya, beliau mengarahkan lebih 30 filem termasuk Bakti, Takdir Ilahi, Penghidupan dan Antara Senyum dan Tangis serta menerima Anugerah Merdeka 2016 bagi kategori Sumbangan Luar Biasa kepada Pendidikan dan Komuniti.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement