Skip to main content

Malaysia

Astro, Disney+ perluas kerjasama tampil lebih banyak kandungan global dan tempatan

Astro, Disney+
Menerusi kerjasama berkenaan, lebih banyak filem, siri dan kandungan asli Disney+ akan disediakan di platform Astro.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Astro dan Disney+ memperluaskan kerjasama strategik yang menggabungkan kandungan hiburan bertaraf dunia dengan karya tempatan, sekali gus membolehkan lebih ramai penonton menikmati kandungan daripada kedua-dua platform.

Menerusi kerjasama berkenaan, lebih banyak filem, siri dan kandungan asli Disney+ akan disediakan di platform Astro termasuk Astro TV, Astro GO dan NJOI, bagi menawarkan pilihan hiburan antarabangsa yang lebih meluas kepada pelanggan.

Pada masa sama, pilihan kandungan terbitan Astro serta rancangan popular Malaysia akan dipaparkan di Disney+, sekali gus memperkenalkan karya tempatan kepada khalayak yang lebih luas di platform penstriman itu.

Disney+ menampilkan pelbagai francais hiburan dan watak ikonik daripada Disney, Pixar, Marvel, Star Wars serta jenama hiburan umum Hulu.

Melalui kerjasama itu, kandungan popular berkenaan kini lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia menerusi platform Astro.

Pelanggan Astro dan NJOI boleh menikmati pelbagai filem dan siri Disney+ termasuk judul blockbuster seperti Pirates of the Caribbean, Kingsman: The Secret Service dan The Incredible Hulk, selain filem popular Maleficent, Brave dan Monsters University.

Turut ditawarkan ialah siri terkenal seperti Buffy the Vampire Slayer, Scrubs dan New Girl.

Sebagai peneraju kandungan tempatan, Astro terus menghasilkan pelbagai karya asli yang mendapat sambutan rakyat Malaysia, termasuk animasi kanak-kanak yang memenangi anugerah, rancangan variasi, program hiburan serta drama.

Menerusi kerjasama itu, pilihan kandungan Malaysia akan ditawarkan di Disney+ merentasi genre seram, drama, realiti, aksi dan kanak-kanak.

Antara judul yang bakal dipaparkan termasuk Zombi Kampung Pisang, Polis Evo 1 & 2, Ola Bola, Khun:Sa - Che Khun Che Nisa, Takdir Itu Milik Aku, Syurga Itu Bukan Mudah, Travelawak: Projek Bapak Bapak dan Didi & Friends.

Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata kerjasama yang diperkukuhkan itu selaras dengan perubahan tabiat tontonan pengguna serta usaha syarikat menyediakan pengalaman hiburan merentas platform yang lebih lancar.

“Kerjasama yang diperluas ini menghimpunkan kisah ikonik Disney+ yang diraikan di seluruh dunia dan kandungan tempatan Astro, sekali gus membuka peluang baharu untuk karya Malaysia seperti Didi & Friends, Polis Evo dan Travelawak: Projek Bapak Bapak, serta produksi asli Astro lain dipaparkan seiring katalog hiburan global Disney di Disney+.

“Ia menawarkan lebih banyak pilihan, kemudahan dan keseronokan kepada pelanggan, selain memudahkan akses kepada kandungan tempatan dan antarabangsa dalam satu ekosistem yang saling terhubung,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Disney bagi Singapura, Malaysia, Taiwan dan Hong Kong, Mark Chan berkata penceritaan sentiasa menjadi teras kepada Disney dan kerjasama dengan Astro akan membolehkan lebih ramai penonton di Malaysia menikmati kandungan global Disney.

Menurut beliau, kerjasama berkenaan turut membantu mengetengahkan suara serta karya tempatan kepada penonton yang lebih luas menerusi platform Disney+.

Pelanggan Astro boleh melanggan Disney+ sebagai perkhidmatan tambahan menerusi aplikasi My Astro atau laman web Astro pada harga bermula RM18.30 sebulan. Pelanggan Movies Pack dan Astro One Epic Pack pula menikmati akses Disney+ tanpa caj tambahan selepas pengaktifan.

Bagi pilihan hiburan tambahan, pelanggan boleh melanggan Blockbuster Pack pada harga RM9.99 sebulan yang merangkumi empat saluran bahasa Inggeris baharu iaitu Astro Showtime (Saluran 411), Astro FAM Time (Saluran 412), Rock Action (Saluran 414) dan Rock X Stream (Saluran 415), dengan Astro Showtime serta Astro FAM Time turut menampilkan pilihan kandungan Disney+.

Astro turut menawarkan pakej Astro One bermula RM49.99 yang menyediakan akses kepada pelbagai kandungan penstriman dan hiburan. Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di astro.com.my atau menghubungi Astro menerusi WhatsApp di 03-9543 3838.
 

Must Watch Video

Advertisement