KUALA LUMPUR: Tiga dekad menghiburkan rakyat Malaysia diraikan menerusi Astro 30 Showcase yang menghimpunkan lebih daripada 50 artis, selebriti dan personaliti di Pavilion Kuala Lumpur pada Ahad.
Ketua Pegawai Pemasaran Astro, Christinne Lim berkata, sambutan bertemakan “Terima Kasih Malaysia” itu menjadi tanda penghargaan kepada penonton dan pelanggan yang menemani serta mencorakkan perjalanan Astro.
Acara selama enam jam itu berlangsung dari pukul 4 petang hingga 10 malam dengan Pavilion Kuala Lumpur bekerjasama sebagai penaja lokasi.
Menurut Christinne, sokongan rakyat Malaysia sepanjang 30 tahun menjadi dorongan kepada Astro untuk terus memperkukuh kandungan tempatan, mendekatkan komuniti dan memberikan pengalaman lebih bermakna kepada pelanggan.
“Dari pihak Astro saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan para pelanggan Astro yang menemani dan mencorakkan perjalanan kami sepanjang ini.
“Kami di Astro akan berusaha untuk terus meningkatkan lagi taraf kandungan Malaysia, merapatkan komuniti Malaysia dan memberikan pengalaman yang lebih menarik dan lebih bermakna untuk para pelanggan dan rakyat Malaysia,” katanya.
Astro 30 Showcase dimeriahkan dengan persembahan muzik, segmen drama dan filem serta sesi bertemu peminat yang menghubungkan penonton dengan bakat kegemaran mereka.
Antara artis yang memeriahkan acara ialah Faizal Tahir, Vanessa Reynauld, Stacy, Noryn Aziz, Zeppo Youngsterz dan ALPHA, selain barisan pelakon daripada pelbagai drama serta filem Astro.
Perjalanan Astro turut dicorakkan oleh bakat pelbagai generasi, termasuk Datuk Yusry Abdul Halim yang bersama platform berkenaan sejak era awal penubuhannya.
Juri Kilauan Emas Selebriti 2026 itu berkata, Astro bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjayanya, malah memainkan peranan besar dalam melahirkan dan mengembangkan bakat tempatan.
“Masa Astro dilancarkan, kami merupakan artis yang melancarkan hits pertama. Selepas ERA pun dilancarkan, kami juga melancarkan. Jadi, banyak kenangan dengan Astro dan tidak sangka juga sumbangan Astro kepada industri seni sangat-sangat tinggi.
“Kerana banyak artis baru yang dilahirkan dari program Astro sendiri ataupun kalau bukan di Astro pun dikembangkan bakat mereka di Astro. Jadi, terima kasih kepada Astro untuk 30 tahun dan harap masa depan lebih lama lagi di Malaysia,” jelasnya.
Bagi generasi baharu pula, Juara Big Stage X Rocketfuel, Hussain Jamilul Hayat menyifatkan Astro sebagai platform yang memperkenalkan dirinya kepada penonton menerusi Talk To My Manager sebelum melangkah ke pentas Big Stage.
“Dari Astro juga, saya diperkenalkan daripada television iaitu Talk To My Manager sampai pun di Big Stage. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaiklah dan akan memberikan komitmen penuh untuk pada masa yang akan datang dan pada generasi yang baru macam saya inilah.”
Sempena ulang tahun ke-30 dan Bulan Kebangsaan, semua pelanggan Astro diberikan akses percuma kepada keseluruhan saluran dari 15 Ogos hingga 16 September.
Dua saluran khas turut diperkenalkan, iaitu Astro 30 di saluran 100 yang menampilkan antaranya kesemua lapan filem Spider-Man serta ANIPLUS di saluran 120 untuk peminat anime.
Pelanggan Astro juga menikmati akses komplementari kepada Astro X3 menerusi aplikasi Astro pada televisyen pintar yang serasi sehingga 16 September tanpa memerlukan kotak tambahan.