Skip to main content

Malaysia

Bakat baharu muzik digesa celik perundangan sebelum meterai kontrak - Fahmi

KUALA LUMPUR, 20 Ogos -- Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada sidang media Bintang Suara Melilea 2026 di Menara MELILEA, Bangsar South, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi berucap pada sidang media Bintang Suara Melilea 2026 di Menara MELILEA, Bangsar South, Kuala Lumpur, 20 Ogos 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menggesa bakat muzik baharu supaya mempunyai pengetahuan asas perundangan, khususnya berkaitan hak mereka sebelum memeterai sebarang kontrak dengan syarikat rakaman.

Beliau berkata pengetahuan itu penting bagi memastikan penyanyi dan penggiat muzik tidak berdepan masalah berkaitan hak mereka pada masa hadapan selepas memasuki industri.

“Sebelum kita tandatangan apa-apa kontrak dengan mana-mana label, yang paling penting sebenarnya adalah untuk tahu hak kita sebagai seorang penyanyi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bintang Suara Melilea 2026 di sini semalam.

Fahmi berkata pembangunan bakat muzik tidak seharusnya terhenti pada usaha mencari bakat baharu, sebaliknya perlu disusuli dengan bimbingan, sokongan dan penerapan asas profesionalisme bagi membantu mereka berkembang dalam industri.

“Saya harap dengan usaha program ini, kita bukan sekadar dapat mencari anak-anak muda, bakat baharu.

“… kita anggap sebagai permata yang belum digilap yang perlu kita gilap, yang perlu kita beri asuhan, didikan, saranan, sokongan, supaya dengan sedikit asas profesionalisme dan berbekalkan bakat, iltizam, impian, mereka mampu mencapai kejayaan lebih besar,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata perkembangan teknologi dan platform digital turut membuka ruang lebih luas kepada bakat baharu untuk memperkenalkan diri tanpa bergantung sepenuhnya kepada televisyen atau radio.

Fahmi turut menyatakan kesediaan beliau untuk membantu menyediakan platform lebih besar bagi program berkenaan pada tahun-tahun akan datang, selain menyokong usaha mencungkil bakat baharu dalam industri muzik.

Beliau berkata industri muzik di Malaysia tidak mempunyai kementerian khusus, namun Kementerian Komunikasi mempunyai kaitan rapat dengan bidang itu menerusi aspek penyiaran, termasuk radio dan televisyen.

Dalam pada itu, Fahmi berkata usaha membangunkan bakat tempatan turut berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.

Bintang Suara Melilea 2026 yang berlangsung hingga 10 Okt ini merupakan inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat MELILEA (M) Sdn Bhd bertujuan mencungkil, membimbing dan memperkasakan bakat baharu dalam kalangan generasi muda.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement