Skip to main content

Malaysia

FINAS sahkan “Konspirasi” dihentikan atas permintaan penerbit

Logo Finas, Finas
FINAS memaklumkan pihaknya menerima pengesahan berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem berkenaan.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengesahkan penamatan tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam negara dibuat atas permintaan penerbit sendiri dan bukan arahan mana-mana pihak.

FINAS dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima pengesahan berhubung perkara itu daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem berkenaan.

Menurut FINAS, berdasarkan emel yang dikongsikan kepada pihaknya, penerbit filem tersebut iaitu Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. telah meminta supaya tayangan Konspirasi dihentikan bermula Khamis (28 Mei).

“Semakan FINAS bersama pengedar dan pempamer filem mendapati penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

FINAS turut menjelaskan filem berkenaan sebelum ini telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei lalu.

Filem tersebut mula ditayangkan di 120 skrin pawagam seluruh negara bermula 21 Mei lalu.

Bagaimanapun, FINAS memaklumkan pihaknya masih belum memperoleh penjelasan lanjut daripada penerbit berhubung keputusan menghentikan tayangan filem itu selepas beberapa usaha menghubungi mereka dilakukan.

Menurut FINAS, pihaknya akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu diterbitkan Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films.

Konspirasi mengangkat kisah anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan misi berisiko tinggi dalam membanteras jaringan rasuah dan kebocoran maklumat sulit.

Must Watch Video

Advertisement