Kannamma, nama yang diabadikan dalam karya penyair agung Tamil, Subramania Bharathi, bukan sekadar simbol cinta, sebaliknya menjadi cerminan jiwa, kekuatan, pengorbanan dan perjalanan seorang wanita mencari makna dalam kehidupan.
Inspirasi itu diterjemahkan seorang penari tarian klasik Bharatanatyam berusia 47 tahun, Devi Letchmanan menerusi persembahan Kannamma – The Love.
Sebuah karya yang bukan sekadar mengangkat keindahan seni tari klasik India, malah turut menyingkap sisi peribadinya sebagai ibu kepada tiga anak dan penggiat seni yang melalui pelbagai liku kehidupan sebelum menjadikan tarian sebagai ruang untuk mengenali semula dirinya.
Menerusi Kannamma – The Love, beliau memilih untuk tidak sekadar mempersembahkan koreografi, tetapi menggunakan tarian bagi menceritakan pengalaman hidupnya sendiri.
Baginya, kisah Kannamma bukan sekadar kisah cinta indah seperti yang sering difahami melalui karya Bharathiyar.
"Ia adalah kisah mengenai seorang wanita yang bergerak, jatuh, bangkit dan sentiasa kembali kepada titik asal untuk mencari keseimbangan," ujarnya.
Selepas melalui perceraian, Devi bangkit membina semula kehidupan menerusi muzik dan tarian sebelum menubuhkan pusat kesenian sendiri.
"Saya pernah berada dalam keadaan tidak tahu bagaimana mahu meneruskan hidup, tetapi dengan sokongan keluarga saya terus melangkah dan sudah lebih sedekad saya mengajar muzik serta tarian," katanya.
Dalam konteks itu, Kannamma menjadi lebih daripada sebuah watak.
"Ia menjadi simbol diri saya sendiri, saya pernah 'berhenti', pernah hilang arah, tetapi tidak pernah benar-benar meninggalkan sesuatu yang menjadi sebahagian daripada jiwa saya," ujarnya.
Lebih bermakna, persembahan yang bakal berlangsung di Auditorium Shantanand, Temple of Fine Arts, Brickfields, ibu negara, Selasa ini turut menyaksikan momen istimewa apabila dua beranak bakal beraksi bersama di atas pentas, dengan anak lelakinya tampil sebagai penyanyi mengiringi beliau yang mempersembahkan tarian Bharatanatyam.
Menurutnya, penglibatan anak itu pada asalnya bukan sesuatu yang dirancang.
"Sebelum ini saya berlatih bersama barisan penyanyi lain, tetapi apabila melihat usaha dan kesungguhan anak saya, saya memilih untuk memberinya peluang.
"Bagi saya, ini bukan kerana dia anak saya atau sekadar mengisi ruang di pentas, sebaliknya satu pengalaman berharga dan proses pembelajaran buat dia juga," katanya.
Menurut Devi, jika dua atau tiga dekad lalu pentas mungkin menjadi tempat untuk membuktikan kemampuan sebagai seorang penari, kini beliau melihatnya dengan perspektif berbeza.
"Tapi sekarang pentas bukan lagi tentang diri. Sebaliknya, ia adalah ruang untuk menyampaikan sesuatu kepada masyarakat.
"Kita perlu jujur apabila berada di atas pentas kerana bagi saya, itu adalah penghormatan tertinggi kepada seni dan masyarakat," ujarnya.
Kata Devi, hasil jualan tiket persembahan itu akan disalurkan kepada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Malaysia bagi membiayai kelas Bharatanatyam secara percuma untuk golongan B40.
Dan mungkin di situlah terletaknya makna sebenar Kannamma – The Love.