Skip to main content

Malaysia

PEPSI FM gabung 4 radio Borneo sempena Gawai, Keamatan

Sumber: Astro AWANI
Inisiatif berkenaan bukan sahaja menyatukan empat stesen radio dalam satu platform khas, malah membuka ruang mengeratkan hubungan antara penyampai radio dan pendengar khususnya komuniti di Borneo. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: ERA Sabah dan ERA Sarawak tampil dengan inisiatif istimewa menerusi penganjuran siaran PEPSI FM yang menghimpunkan empat stesen radio utama iaitu ERA Sabah, ERA Sarawak, Cats FM dan Kupi-Kupi FM sempena sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan tahun ini.

Pengurus Jenama ERA Sabah dan ERA Sarawak, Azah Sahrin berkata, kolaborasi sulung itu menghimpunkan personaliti radio dari Sabah dan Sarawak dalam suasana penuh budaya, hiburan serta perpaduan.

“Ini merupakan kali pertama ERA Sabah dan ERA Sarawak bergabung bersama Cats FM dan Kupi-Kupi FM dalam meraikan sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan... dan ia pastinya menjadi satu peluang yang amat membanggakan buat kami,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyatukan empat stesen radio dalam satu platform khas, malah membuka ruang mengeratkan hubungan antara penyampai radio dan pendengar khususnya komuniti di Borneo.

“Sokongan Pepsi memainkan peranan besar dalam menjayakan PEPSI FM, lebih-lebih lagi sebagai jenama yang cukup dekat dengan rakyat dan sering menjadi pilihan untuk diraikan bersama keluarga dan tetamu sempena musim perayaan seperti Hari Gawai dan Pesta Kaamatan,” katanya lagi.

Siaran khas PEPSI FM berlangsung selama 18 jam tanpa henti pada Khamis dengan pelbagai pengisian hiburan, segmen interaktif serta kandungan budaya yang mengetengahkan semangat sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

Program itu turut menampilkan kepelbagaian budaya unik masyarakat Sabah dan Sarawak selain menjadi platform merapatkan hubungan antara industri penyiaran dan komuniti setempat.

Dalam masa sama, Astro Audio merakamkan penghargaan kepada Pepsi selaku penaja utama yang merealisasikan kolaborasi berkenaan.

Ketua Jenama FM Astro Audio, Dhan berkata, cabaran utama program berkenaan adalah menyatukan pelbagai bahasa, gaya penyampaian dan personaliti radio dari Sabah dan Sarawak dalam satu platform siaran khas.

“Banyak kerja di belakang tabir untuk menggabungkan semua ini, termasuk cara penyampaian, bahasa dan susunan kandungan. Tetapi hasilnya sangat indah dan kami berharap lebih banyak kolaborasi seperti ini dapat dilakukan pada masa depan,” katanya.

Pengurus Operasi Kupi-Kupi FM, Ronald Raynel Florence pula berkata, program itu menjadi tanggungjawab bersama dalam memelihara sejarah, warisan dan tradisi masyarakat Borneo.

“Budaya Sabah dan Sarawak sebenarnya tidak jauh berbeza. Yang membezakan hanyalah cara dan masa sambutan dilakukan. Selain makanan dan tradisi, keunikan Borneo terletak pada budaya serta tarian yang diraikan bersama,” katanya.

Menurut beliau, kolaborasi tersebut memberi peluang kepada masyarakat Sabah mengenali budaya Gawai manakala masyarakat Sarawak memahami sambutan Kaamatan dengan lebih dekat.

Dalam pada itu, Pengurus Program Cats FM, Muhammad Fazli Daud berkata, kerjasama berkenaan membuktikan budaya Sabah dan Sarawak mampu menjadi medium perpaduan rakyat Malaysia.

“Kolaborasi ini bukan sahaja berkongsi budaya tetapi juga berkongsi rasa. Masyarakat Sabah boleh mengenali Gawai dan masyarakat Sarawak pula dapat memahami Kaamatan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan bahasa Sabah dan Sarawak dalam siaran juga menjadi cabaran kerana perlu disampaikan secara mudah agar dapat difahami pendengar di seluruh negara.

“Kami berharap semangat perpaduan yang dibawa menerusi PEPSI FM dapat diperluaskan ke seluruh Malaysia pada masa depan,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement