KUALA LUMPUR: Waris Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menerima bayaran royalti berjumlah RM367,305.19 daripada Universal Music Malaysia dalam satu majlis penghargaan legasi seniman itu di sini pada Khamis.
Bayaran tersebut diserahkan kepada anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau Atai, selepas proses semakan dan pengesahan yang mengambil masa hampir dua tahun.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, tempoh berkenaan diperlukan bagi melaksanakan audit serta penelitian terhadap penyata royalti dan akaun berkaitan katalog muzik Allahyarham.
Menurutnya, proses itu turut melibatkan semakan terhadap beberapa perkara dalam kontrak asal Sudirman bersama EMI Music Malaysia yang memerlukan penjelasan lanjut sebelum pembayaran dapat disempurnakan.
Dalam masa sama, Universal Music Malaysia dan pihak waris turut memeterai kontrak baharu bagi pengurusan katalog muzik Allahyarham yang merangkumi aspek penggunaan digital serta kaedah penjanaan royalti selaras perkembangan industri muzik semasa.
Kim berkata, langkah itu membolehkan keluarga Allahyarham terus menerima manfaat daripada karya-karya Sudirman yang masih mendapat sambutan dalam pelbagai platform.
Sementara itu, Atai menyifatkan kerjasama yang diberikan Universal Music Malaysia membantu melancarkan proses penyelesaian urusan royalti berkenaan.
Beliau berkata, perbincangan melibatkan pelbagai pihak termasuk waris keluarga, peguam dan wakil syarikat rakaman sebelum persetujuan dapat dicapai.
EMI Music Malaysia yang kini berada di bawah Universal Music Malaysia terus mengurus serta memelihara katalog muzik Allahyarham Sudirman bagi memastikan legasi seniman itu kekal relevan dan dapat dinikmati generasi baharu.