Skip to main content

Malaysia

Seniman ucap takziah atas pemergian Che Man

Seniman,Takziah
Hafiz berkata, walaupun Allahyarham bukan seorang yang mengejar populariti, disiplin dan kesungguhan beliau dalam berkarya menjadikan dirinya dihormati rakan seperjuangan serta generasi pelapis. - Gambar Seniman
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) merakamkan ucapan takziah atas pemergian pelakon veteran, Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Che Man yang meninggal dunia pada usia 68 tahun.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air selepas lebih empat dekad mencurahkan bakti dalam dunia lakonan.

Menurutnya, Allahyarham dikenali sebagai antara pelakon karakter terbaik negara menerusi gaya lakonan yang bersahaja, penuh penghayatan serta cukup sinonim dengan penggunaan loghat Kelantan.

β€œAllahyarham telah meninggalkan legasi yang cukup besar dalam industri seni kreatif Malaysia. Dedikasi dan sumbangan beliau akan terus dikenang oleh peminat serta warga seni tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang di Hospital Tanah Merah, Kelantan akibat komplikasi jantung.

Antara karya yang mengangkat nama Allahyarham termasuk filem Gila-Gila Remaja (1986) menerusi watak Farouk, selain membintangi beberapa filem popular seperti Rozana Cinta 87, Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Tiada Tajuk, Mael Totey The Movie dan drama Banyak Chanteq.

Watak Cik Man dalam trilogi filem Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid menjadi antara karakter paling diingati dan mengukuhkan reputasi beliau sebagai pelakon yang mempunyai keunikan tersendiri.

Hafiz berkata, walaupun Allahyarham bukan seorang yang mengejar populariti, disiplin dan kesungguhan beliau dalam berkarya menjadikan dirinya dihormati rakan seperjuangan serta generasi pelapis.

β€œKarya-karya Allahyarham merupakan khazanah seni negara yang akan terus hidup dan menjadi rujukan dalam sejarah perfileman Malaysia,” katanya.

Seniman turut menzahirkan penghargaan atas segala jasa Allahyarham dalam memartabatkan industri seni kreatif negara serta mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman.

"Allahyarham meninggalkan kenangan besar kepada industri hiburan tempatan menerusi watak-watak ikonik yang akan terus dikenang oleh pencinta seni tanah air," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement