KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan penyanyi dan penggiat muzik tradisional, Noraniza Idris, sebagai penyanyi undangan pada Konsert Tradisional Gema Bumantara, sekali gus mengakhiri teka-teki mengenai artis yang bakal berkongsi pentas bersamanya pada persembahan berkenaan.
Menurut Biduanita Negara itu, pemilihan Noraniza dibuat berdasarkan sumbangan besar beliau dalam memperjuangkan muzik tradisional Melayu selama lebih tiga dekad.
Dalam masa sama, Siti Nurhaliza juga berpendapat, penyanyi senior itu merupakan figura yang tepat untuk memperkukuhkan tema konsert yang mengangkat warisan seni dan budaya Nusantara.
“Terima kasih Kak Ani (panggilan buat Noraniza) kerana sudi menerima lamaran saya untuk menjayakan konsert ini.
“Insya-Allah saya yakin kita akan menjadikan pementasan ini sesuatu yang bermakna buat seluruh pencinta muzik tradisional,” kata Siti Nurhaliza pada sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Noraniza yang juga masyhur dengan gelaran Ratu Etnik Kreatif pula menyatakan rasa syukur dan berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan Siti Nurhaliza untuk bersama-sama menjayakan Konsert Gema Bumantara.
Siti Nurhaliza berharap kolaborasi itu dapat memberikan pengalaman istimewa kepada penonton serta membuktikan muzik tradisional mampu dipersembahkan dalam skala konsert bertaraf antarabangsa tanpa menghilangkan identitinya.
Siti Nurhaliza, 47, dan Noraniza, 58, merupakan dua penyanyi tanah air yang konsisten memperjuangkan lagu-lagu berkonsepkan irama tradisional sepanjangkan kerjaya seni mereka.
Kedua-dua penghibur tersohor itu juga pernah merakamkan album tradisional berjudul Seri Balas pada 1999 yang memuatkan lagu popular antaranya Hati Kama.
Album berkenaan diterbitkan oleh komposer dan penggiat muzik ternama, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah dan diedarkan oleh syarikat rakaman Suria Records.
Selain Noraniza, artis lain yang turut diundang menjayakan persembahan Gema Bumantara ialah Haziq Rosebi, Lesti Kejora dan King Nassar dari Indonesia.
Konsert Gema Bumantara bakal diadakan di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober depan.
Pementasan Gema Bumantara bakal mengangkat tema muzik tradisional Melayu dan Nusantara dalam skala mega dan dijadual berlangsung dalam suasana penuh warna-warni budaya Nusantara.