Skip to main content

Malaysia

UKM cipta sejarah anjur Konsert Diraja di DFP

KUALA LUMPUR, 9 Ogos -- Persembahan bertenaga penyanyi popular tanah air, Dayang Nurfaizah pada Konsert Diraja UKM 2026 di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), malam tadi.   Persembahan eksklusif ini dikendalikan oleh maestro jemputan terkenal, Datuk Dr Johari Salleh. Konsert itu turut menampilakan beberapa artis tempatan seperti Datuk Zainal Abidin dan Nadeera Zaini.  Konsert Diraja UKM 2026 merupakan inisiatif pengumpulan dana khusus bagi menyokong pembangunan akademik dan penyelidikan menerusi Kursi Diraja
Persembahan bertenaga penyanyi popular tanah air, Dayang Nurfaizah pada Konsert Diraja UKM 2026 di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), malam tadi. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah tersendiri apabila julung kalinya menganjurkan Konsert Diraja UKM 2026 di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), malam tadi. 

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata dana diperoleh daripada jualan tiket akan dimanfaatkan bagi memastikan kelestarian dalam pelaksanaan aktiviti akademik, penyelidikan dan pembangunan di UKM, sekali gus memperkasakan peranan universiti dalam pembangunan modal insan.

“Itu antara objektif kita, tetapi objektif lebih luas untuk pastikan selepas ini kerjasama antara UKM dan DFP berjalan lancar kerana kita rasakan melalui konsert malam ini kita berjaya meningkatkan kualiti seni persembahan di UKM, membolehkan pelajar membuat persembahan di dewan bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita selepas Konsert Diraja UKM 2026. 

Image
[INSERT]_KONSERT DIRAJA UKM 2026 1_BERNAMA
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merangkap Tuanku Canselor UKM dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat pada Konsert Diraja UKM 2026 di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), malam tadi. - Foto Bernama

Beliau berkata pihaknya juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan mengadakan satu bentuk kerjasama antara UKM dan beberapa universiti awam lain bersama-sama DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

“Antara kerjasama yang kita laksanakan ialah latihan industri untuk pelajar daripada universiti awam, khususnya UKM belajar bukan sahaja dari segi seni persembahan, tetapi juga berkenaan reka bentuk, sistem, AI (kecerdasan buatan) dalam muzik dan seni bina,” katanya.

Konsert Diraja UKM 2026 disempurnakan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir merangkap Tuanku Canselor UKM, serta Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.  

Turut hadir menyaksikan persembahan ialah Pro-Canselor UKM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dan Tan Sri Rafiah Salim.

Bertemakan “Simfoni Diraja: Legasi Irama Sepanjang Zaman”, konsert ini dikendalikan oleh Maestro terkenal Datuk Dr Johari Salleh yang memimpin Orkestra Kuala Lumpur.  

Image
[INSERT]_KONSERT DIRAJA UKM 2026 2_BERNAMA
Persembahan bertenaga penyanyi popular tanah air, Datuk Zainal Abidin pada Konsert Diraja UKM 2026 di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), malam tadi. - Foto Bernama

Pentas DFP dihangatkan dengan gabungan bakat pelajar UKM menerusi Kumpulan Tarian Aadyamaatra ARTISUKMA serta nyanyian Rifdy Khairy Kipli, Adam Harith Putera, Nur Fatin Alyana dan Ana Batrisya menerusi Segmen Nusantara. 

Penyanyi popular tanah air turut menyajikan persembahan luar biasa buat penonton yang hadir termasuk Nadeera Zaini, Dayang Nurfaizah dan Datuk Zainal Abidin.

Antara detik paling mencuri tumpuan penonton ialah persembahan khas piano oleh Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz yang mendendangkan lagu ikonik Tan Sri P. Ramlee, Getaran Jiwa, diiringi Orkestra Kuala Lumpur.  

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement