KUALA LUMPUR: Tumpuan hari ini terarah kepada penyatuan dua figura, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi Bella Astillah, yang dijadualkan melangsungkan akad nikah di Menara Merdeka 118.
Ketibaan keluarga, kenalan rapat serta tetamu jemputan mula mewarnai suasana menjelang detik bersejarah pasangan itu, yang memilih konsep serba putih dengan sentuhan tradisional dan elemen Islamik bagi majlis pernikahan mereka.
Semua tetamu dijangka menyaksikan detik paling dinantikan pagi ini, iaitu lafaz akad nikah yang bakal menandakan bermulanya kehidupan baharu buat Bella dan Syed Saddiq sebagai pasangan suami isteri.
Perkahwinan yang berlangsung pada 10 Oktober 2026 itu turut menjadi perhatian ramai, selepas Syed Saddiq melamar Bella pada 28 Mac lalu ketika mereka berada di Gunung Kinabalu, Sabah.
Selain majlis pernikahan hari ini, pasangan berkenaan turut merancang mengadakan Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober dan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.
Inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama meraikan hari bahagia mereka, termasuk menerusi tradisi rewang dan aktiviti memasak bersama-sama, seperti yang dimaklumkan Syed Saddiq sebelum ini.
Majlis berkenaan dijangka menjadi satu lagi detik bermakna buat pasangan itu, dengan tumpuan bukan sahaja kepada penyatuan mereka, malah usaha berkongsi kegembiraan bersama masyarakat.