KUALA LUMPUR: Lebih 50 selebriti dan artis tempatan dijadual memeriahkan acara Astro 30 Showcase yang akan berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur pada Ahad ini.
Acara yang berlangsung selama enam jam bermula jam 4 petang hingga 10 malam itu akan diadakan di pintu masuk utama pusat beli-belah berkenaan.
Pelbagai aktiviti disediakan termasuk persembahan muzik secara langsung, persembahan pentas, sesi pengenalan drama dan filem baharu serta sesi ramah mesra bersama peminat.
Antara artis yang bakal memeriahkan acara termasuk Faizal Tahir, Stacy Anam, Noryn Aziz, Ammara, ALPHA dan Vanessa Reynauld, selain kemunculan istimewa Datuk Yusry Abdul Halim serta barisan pelakon daripada pelbagai produksi Astro.
Turut ditampilkan barisan bintang daripada karya popular seperti Kudrat 1968, WOLONG, Terbang dan Visham.
Astro 30 Showcase merupakan sebahagian daripada program sambutan ulang tahun ke-30 Astro bagi meraikan perjalanan syarikat penyiaran itu sepanjang tiga dekad dalam menyediakan pelbagai kandungan hiburan, drama, filem dan muzik kepada penonton di Malaysia.
Penganjuran acara berkenaan dijangka menarik kehadiran peminat hiburan tempatan selain memberi peluang kepada mereka bertemu lebih dekat dengan selebriti kegemaran menerusi pelbagai aktiviti dan persembahan yang disediakan sepanjang hujung minggu ini.