Skip to main content

Hiburan

Astro Originals 'Good Boys Go To Heaven' cetus fenomena 'penonton detektif', buka dialog isu trauma kanak-kanak

gbgth tb
Sejak ditayangkan pada Mei lalu, siri terbitan Astro Shaw ini, Astro Originals 'Good Boys Go To Heaven' menarik perhatian penonton menerusi plot penyiasatan yang merungkai kehilangan dan kematian seorang kanak-kanak, sekali gus mencetuskan pelbagai teori serta perbincangan di media sosial. -Gambar Astro
Advertisement

KUALA LUMPUR: Fenomena penonton menjadi ‘detektif’ dengan membina pelbagai teori dan spekulasi menjelang episod akhir 'Good Boys Go To Heaven' membuktikan siri terbitan Astro Originals itu berjaya mencetuskan keterlibatan luar biasa dalam kalangan penonton.

Namun di sebalik misteri yang menjadi perbualan ramai, siri berkenaan turut membuka ruang dialog mengenai isu trauma kanak-kanak, keganasan seksual dan kesihatan mental yang sering dianggap sensitif untuk dibincangkan dalam masyarakat.

Sejak ditayangkan pada Mei lalu, siri terbitan Astro Shaw ini, Astro Originals 'Good Boys Go To Heaven' menarik perhatian penonton menerusi plot penyiasatan yang merungkai kehilangan dan kematian seorang kanak-kanak, sekali gus mencetuskan pelbagai teori serta perbincangan di media sosial.

Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan siri itu bukan sekadar apabila penonton cuba meneka identiti pelaku atau merungkai misteri yang dipaparkan.

“Bagi kami, perkara paling penting ialah impak yang berjaya diwujudkan siri ini. Kami berharap ia bukan sekadar membuatkan penonton menjadi detektif dan membina teori, tetapi turut menyampaikan mesej mengenai trauma serta kisah gelap yang menimpa kanak-kanak.

“Kami juga berharap siri ini dapat memberi keberanian kepada mereka yang pernah melalui pengalaman sedemikian untuk tampil bersuara, selain menggalakkan ibu bapa berbincang dengan anak-anak mengenai isu berkaitan.

“Menerusi 'Good Boys Go To Heaven', kami turut bekerjasama dengan MIASA Malaysia bagi memastikan cerita ini disampaikan secara berperikemanusiaan dan kekal berpaksikan fakta walaupun dibawakan dalam bentuk hiburan,” katanya.

Menurutnya, seperti mana 'Projek: High Council' yang mengangkat isu buli di sekolah, 'Good Boys Go To Heaven' pula meneroka realiti trauma serta kesan jangka panjang yang dialami mangsa dan keluarga.

Dalam masa sama, Raja Jastina memberi bayangan bahawa episod terakhir siri berkenaan bakal merungkai pelbagai persoalan yang menjadi tanda tanya penonton sejak awal penceritaan.

“Episod ketujuh akan memberikan kejutan kepada penonton. Manakala episod kelapan pula akan merungkai pelbagai persoalan yang dibangkitkan sepanjang siri ini, memberikan gambaran yang lebih jelas serta penutup kepada beberapa konflik utama.

“Namun dalam masa yang sama, mungkin masih ada persoalan yang akan terus bermain dalam fikiran penonton,” ujarnya.

Setakat ini, 'Good Boys Go To Heaven' merekodkan lebih 58 juta tontonan dan 9.5 juta capaian di media sosial, sekali gus menjadikannya antara siri tempatan paling banyak diperkatakan ketika ini.

Malah, siri tersebut turut tersenarai dalam carta Top 10 Netflix Malaysia setiap minggu selain berjaya menembusi carta Top 10 Netflix Singapura, mencerminkan penerimaan positif penonton terhadap karya tempatan di peringkat serantau.

Selain prestasi tontonan, Astro melihat kejayaan 'Good Boys Go To Heaven' melalui impak sosial yang berjaya diwujudkan apabila siri itu mencetuskan perbualan lebih terbuka mengenai trauma kanak-kanak, keganasan seksual dan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Image
gbgth insert
Siri ini boleh distrim melalui Astro One dan Sooka. - Gambar Astro

Must Watch Video

Advertisement