KUALA LUMPUR: Legasi Allahyarham Datuk Suhaimi Md Zain atau Pak Ngah bakal terus dihidupkan menerusi penganjuran Malam Kemala Irama: Mengenang Pak Ngah, sebuah program penghargaan yang menggabungkan persembahan pentas, apresiasi tokoh dan perkongsian ilmu bagi memastikan khazanah Irama Malaysia kekal subur dalam jiwa masyarakat.
Dianjurkan oleh Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), program itu merupakan kesinambungan siri Malam Kemala Irama yang diperkenalkan sejak 2017 dengan konsep edutainment yang menggabungkan hiburan dan pendidikan secara tidak langsung.
Dekan PuTRA, Mohd Kamarulzaman Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem berkata, penganjuran program berkenaan membawa matlamat besar untuk memastikan karya serta perjuangan seni Pak Ngah terus dikenang dan dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.
Menurut beliau, Pak Ngah bukan sekadar pencipta lagu, malah antara individu penting yang berjaya menjadi jambatan antara tradisi dan muzik kontemporari tanpa mengorbankan identiti Melayu.
"Beliau menyambung tradisi muzik Melayu dalam bentuk yang lebih segar dan kontemporari, sekali gus menyumbang kepada pembangunan intelektual dalam penghasilan lagu tradisional secara lebih spesifik.
"Kita mahu masyarakat bukan sahaja mengenali lagu-lagu ciptaannya, tetapi turut menghayati pemikiran dan sumbangan beliau kepada perkembangan Irama Malaysia," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Che Kem berkata, antara cabaran utama ketika ini adalah menarik minat generasi muda untuk mendekati seni muzik tradisional yang sering dianggap tidak seiring dengan cita rasa semasa.
Justeru, beliau melihat Malam Kemala Irama sebagai platform penting untuk memperkenalkan semula khazanah muzik Melayu dalam pendekatan yang lebih dekat dengan kelompok muda.
"Kita mahu generasi muda melihat bahawa seni tradisional mempunyai keindahan dan nilai tersendiri. Program seperti ini memberi ruang kepada mereka untuk mengenali karya-karya hebat yang membentuk identiti bangsa.
"Pak Ngah mempunyai langgam dan jati diri Melayu yang sangat kuat. Itu yang menjadikan karya beliau istimewa dan kekal relevan hingga hari ini," katanya.
Selain persembahan tribute, program berkenaan turut melibatkan keseluruhan komuniti ASWARA merangkumi tujuh fakulti dan tiga pusat pengajian menerusi pelbagai aktiviti termasuk pertandingan kompang yang terbuka kepada orang awam, komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan penduduk setempat.
Pada 2 Oktober ini, Forum Apresiasi Tokoh: Adikarya Pak Ngah akan berlangsung di Dewan Cendana, ASWARA dengan menampilkan maestro ternama, Datuk Ramli MS; penyanyi lagu-lagu irama Malaysia tersohor negara, Noraniza Idris dan Che Kem sebagai panel, manakala Editor Astro AWANI, Saharudin Musthafa bertindak sebagai moderator.
Tidak ketinggalan, komposer dan penggubah muzik generasi muda, Teuku Umar pula akan membentangkan kertas kerja mengenai khazanah seni tinggalan Allahyarham Pak Ngah.
Kemuncak program adalah persembahan Malam Kemala Irama: Mengenang Pak Ngah yang dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Oktober di Panggung Eksperimen, ASWARA.
Konsert tersebut bakal menampilkan alumni ASWARA seperti Hazra Dollah, Azizulhaqim, Liaa Aziz, Azzam Sham, Norazura Abu Bakar dan Jamilah Abu Bakar serta kumpulan Harmontradiloka di bawah arahan Pengarah Muzik, Syahrizan Sahamat.
Menerusi rangkaian lagu popular ciptaan Pak Ngah yang akan dipersembahkan, penganjuran itu diharapkan dapat menghidupkan semula semangat cintakan seni tradisional dan memastikan warisan Irama Malaysia terus bergema dalam kalangan generasi baharu.