Skip to main content

Hiburan

Lagu pertama posthumus Dolly Parton dilancarkan

81668399030_DollyParton.jpg
Lagu berjudul “Bound To Ride” itu dirakam oleh Parton pada 2022 dan dimuatkan dalam album penghormatan kepada Stanley Brothers yang dijadualkan dilancarkan pada 16 Oktober. - Gambar fail
Advertisement

LONDON: Lagu pertama posthumus Dolly Parton dilancarkan selepas  dua minggu bintang muzik country Amerika Syarikat itu meninggal dunia, lapor PA Media/dpa.

Parton meninggal dunia pada usia 80 tahun pada 25 Ogos selepas “berdepan dengan kanser untuk tempoh singkat”.

Lagu berjudul “Bound To Ride” itu dirakam oleh Parton pada 2022 dan dimuatkan dalam album penghormatan kepada Stanley Brothers yang dijadualkan dilancarkan pada 16 Oktober.

Parton merakam vokalnya untuk lagu yang dipopularkan oleh The Stanley Brothers pada 1964 itu di studio peribadinya ketika penularan COVID-19 meningkat kerana tidak mahu mengambil risiko melakukan perjalanan.

Lagu itu akan dimuatkan dalam album berjudul “Where The Soul Never Dies: Celebrating 80 Years Of The Stanley Brothers.”

Album berkenaan diterbitkan oleh pasangan suami isteri Garry West dan Alison Brown sebagai penghormatan kepada Carter dan Ralph Stanley, yang terkenal dengan karya mereka dalam genre muzik “bluegrass” yang amat diminati Parton.

Ketika bercakap kepada Rolling Stone mengenai sumbangan Parton, West berkata: “Saya gelarkan ia sebagai Dolly sepenuhnya. Kami tidak tahu apa yang akan kami terima dan dia benar-benar memberikan lebih daripada yang kami jangkakan.

“Kami terkejut. Kami tidak mungkin mendapat sesuatu yang lebih baik.”

Artis lain yang turut menjayakan album itu termasuk Willie Nelson, Steve Martin dan Ed Helms.

Sepanjang kerjayanya yang menjangkau lebih 60 tahun, Parton menjual lebih 100 juta rekod di seluruh dunia dan menulis lebih 3,000 lagu, termasuk lagu popular “Coat Of Many Colours” dan “Joshua.”

Beliau juga seorang ahli perniagaan yang bijak dengan empayar yang merangkumi taman tema bernama Dollywood, selain merupakan tokoh perintis dalam bidang kebajikan.

Program Imagination Library miliknya, iaitu program pemberian buku yang bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak, mengagihkan lebih 300 juta buku kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Ucapan penghormatan mencurah-curah dari seluruh dunia selepas kematiannya, termasuk daripada beberapa nama terbesar dalam industri muzik seperti Miley Cyrus, Elton John, Paul McCartney, Mick Jagger, Taylor Swift dan Beyonce.

 --BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement