BANGKOK: Malaysia dan Thailand menerbitkan secara bersama filem antologi seram, mencerminkan hubungan budaya dan kreatif yang semakin erat antara kedua-dua negara.
Pengarah Pengurusan Pengeluaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Mohd Fazli Abdul Aziz berkata antologi seram terbitan bersama itu, The DE4D Echoes, mengetengahkan kerjasama rentas sempadan dalam industri perfileman Asia Tenggara serta menampilkan cerita rakyat dan tradisi bercerita.
Advertisement
Beliau berkata projek itu, yang disokong di bawah Dana Penerbitan Bersama Filem Cereka FINAS, dijangka meningkatkan lagi keupayaan industri dan membuka peluang dalam kedua-dua pasaran.
“Ia juga akan membuka peluang untuk memasarkan filem kami di Thailand dan sebaliknya," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada malam gala dan tayangan khas filem itu di sini pada Rabu.
Fazli menambah kerjasama yang menerima RM1 juta dalam bentuk sokongan pembiayaan daripada FINAS, akan membolehkan pembikin filem Malaysia mendapat pendedahan kepada pascaproduksi, teknik penggambaran dan penulisan skrip.
“Sebagai batu loncatan, penonton di Thailand akan dapat menikmati kualiti dan standard penerbitan filem kita manakala filem Thai pula mungkin menawarkan elemen unik untuk penonton Malaysia,” katanya.
Beliau berkata The DE4D Echoes, antologi berdurasi 113 minit, terdiri daripada empat segmen, masing-masing meneroka tema ghaib yang berakar umbi dalam cerita rakyat Asia Tenggara, karma dan pembalasan.
"Dua daripada segmen itu diarahkan oleh pembuat filem Malaysia - Anwardi Jamil dan Saqina Latif," tambahnya.
Fazli berkata filem itu dijadualkan untuk tayangan di pawagam Malaysia pada suku kedua 2026.
-- BERNAMA