Skip to main content

Hiburan

Selepas tiga dekad, Duane Keith didapati bersalah bunuh Tupac Shakur

Duane Davis during his murder trial for the 1996 killing of Tupac Shakur, in Las Vegas, Nevada, on August 24. Photograph: Caroline Brehman/Pool Reuters/AP
Gambar Duane Keith Davis yang dirakamkan ketika menghadiri perbicaraan kes pembunuhan Tupac Shakur pada Khamis lalu. Davis didapati bersalah atas pembunuhan legenda rap Amerika Syarikat itu pada 1996. - Gambar AP.
Advertisement

LAS VEGAS: Seorang juri di Las Vegas mendapati bekas ketua geng South Side Compton Crips, Duane Keith Davis bersalah atas pembunuhan legenda rap Amerika Syarikat, Tupac Shakur, sekali gus menamatkan episod panjang kes berprofil tinggi itu hampir tiga dekad selepas insiden berkenaan berlaku.

Shakur yang dilahirkan pada 1971 di East Harlem, New York, mencipta nama pada awal 1990-an menerusi lirik puitis dan kritikan sosial yang tajam terhadap ketidakadilan, termasuk isu perkauman sistemik, keganasan polis dan kesukaran yang dihadapi komuniti terpinggir.

Dianggap antara rapper terhebat sepanjang zaman, pengaruh Shakur merentasi generasi dan terus diraikan di seluruh dunia meskipun hayatnya berakhir pada usia muda. 

Beliau meninggal dunia pada usia 25 tahun selepas ditembak empat das di dalam sebuah kereta berhampiran Las Vegas Strip sebelum menghembuskan nafas terakhir di hospital beberapa hari kemudian.

Kematian Shakur selama bertahun-tahun mencetuskan pelbagai teori konspirasi apabila ramai mempertikaikan siapa yang terlibat, mengapa kes itu berlarutan tanpa penyelesaian dan bahkan sama ada penyanyi rap itu benar-benar telah meninggal dunia.

Perbicaraan yang berlangsung selama beberapa minggu itu kini memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga dan peminat yang sekian lama menantikan jawapan mengenai pembunuhan berkenaan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa raya yang diketuai Peguam Daerah Clark County, Marc DiGiacomo dan timbalannya, Binu Palal memanggil 25 saksi untuk memberi keterangan. Sebahagian daripada mereka terpaksa diarahkan mahkamah hadir selepas enggan tampil secara sukarela.

Davis, 63, dituduh merancang serangan maut itu walaupun bukan individu yang melepaskan tembakan. 

Sebelum ditahan pada 2023, beliau selama bertahun-tahun menceritakan kepada penyiasat dan media mengenai penglibatan langsungnya dalam kejadian tersebut.

Sebahagian besar kes pendakwaan bergantung kepada maklumat yang terkandung dalam memoir tulisan Davis yang diterbitkan pada 2019 berjudul Compton Street Legend.

Bagaimanapun, peguam bela Davis, Michael Sanft berhujah bahawa pengakuan dan cerita yang disampaikan anak guamnya hanyalah dakwaan yang diperbesar-besarkan untuk meraih perhatian umum terhadap misteri kematian Shakur.

Pendakwa raya turut memainkan rakaman selama lapan jam yang dikumpulkan daripada empat sesi temu bual berasingan merentasi beberapa tahun, di mana Davis menceritakan sendiri apa yang berlaku pada malam 7 September 1996.

Dalam memoirnya, Davis mendakwa beliau merancang tindakan balas terhadap Shakur selepas penyanyi rap itu bersama rombongannya dikatakan membelasah anak saudaranya, Orlando “Baby Lane” Anderson, di lobi MGM Grand pada malam yang sama. 

Anderson, yang merupakan anggota geng pesaing di Compton, California, maut dua tahun kemudian dalam kejadian tembak-menembak yang tidak berkaitan dengan kes itu.

Pada malam kejadian, Shakur dan pengasas syarikat rakamannya, Marion “Suge” Knight, menghadiri perlawanan tinju membabitkan Mike Tyson di kasino berkenaan sebelum bertolak ke sebuah majlis selepas perlawanan.

Menurut penyiasat, sebuah Cadillac putih menghampiri kenderaan yang dinaiki mereka ketika berhenti di lampu isyarat merah sebelum individu di dalam kereta tersebut melepaskan tembakan.

Dalam bukunya, Davis mengaku berada di dalam Cadillac berkenaan dan membawa sepucuk pistol Glock berkaliber .40. 

Beliau mendakwa, serangan terhadap anak saudaranya menjadi pencetus kepada rancangan membalas dendam terhadap Shakur.

Walaupun perbicaraan akhirnya berakhir, ahli keluarga Shakur mempersoalkan mengapa pihak berkuasa mengambil masa begitu lama untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Kami menunggu selama 30 tahun untuk benar-benar berkabung,” kata sepupu Shakur, Zayd Akinyela kepada pemberita ketika perbicaraan sedang berlangsung.

Menurutnya, ramai ahli keluarga mangsa sukar menerima kehilangan orang tersayang selagi mereka tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana tragedi tersebut tercetus.

Laporan semakan oleh Los Angeles Times pada 2015 turut mendedahkan, beberapa kelemahan dalam siasatan awal polis, termasuk kegagalan menyiasat Anderson walaupun konflik antara beliau dan rombongan Shakur telah diketahui umum.

Polis juga dilaporkan tidak menindaklanjuti maklumat daripada seorang anggota rombongan Shakur yang mendakwa mampu mengenal pasti penembak terbabit. Saksi tersebut bagaimanapun maut dalam satu lagi insiden tembakan beberapa minggu kemudian.

Kes pembunuhan Shakur sering dijadikan contoh oleh keluarga, peminat serta pemimpin dan penghibur masyarakat kulit hitam sebagai simbol kegagalan sistem keadilan yang didakwa dipengaruhi unsur perkauman.

Penyiasat pula memaklumkan, kes itu sukar dibuktikan berikutan kekurangan bukti fizikal selain keengganan ramai saksi berpotensi untuk bekerjasama, termasuk individu yang berada dalam lingkungan rapat Shakur.

Ironinya, individu yang akhirnya menjadi saksi terpenting pendakwaan ialah Davis sendiri menerusi pengakuan-pengakuan yang dibuatnya selama bertahun-tahun.

Menurut DiGiacomo, jika Davis tidak pernah menulis memoir berkenaan, kemungkinan besar beliau tidak akan pernah didakwa atas jenayah tersebut. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement