TRELER untuk filem pendek eksperimental "Sandiwara" lakonan Tan Sri Michelle Yeoh diperlihat semalam, menampilkan pendekatan visual yang unik dan gaya penceritaan yang bertumpu kepada budaya tempatan.
Filem berdurasi sekitar 10 minit itu bukan sahaja menonjolkan Yeoh dalam lima watak berbeza, tetapi turut menarik perhatian kerana ia dirakam sepenuhnya menggunakan iPhone di Pulau Pinang.
Advertisement
Sandiwara diarahkan oleh Sean Baker, pengarah yang meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi "Anora".
Beliau kembali menggunakan teknik perfileman mudah alih — sesuatu yang pernah dilakukannya sebelum ini melalui "Tangerine" (2015) yang dirakam menggunakan tiga iPhone 5s.
Filem ini akan ditayangkan pada 20 Februari 2026, selepas tayangan perdana di Festival Filem Berlin pada 13 Februari.
Baker membawakan gaya penggambaran 'guerrilla' yang menonjolkan suasana pasar malam Penang, dengan fokus terhadap kepelbagaian budaya, identiti wanita, serta warisan kulinari Malaysia.
Selain itu, beberapa produksi lain turut mempunyai babak yang dirakam menggunakan iPhone termasuk Unsane, F1, High Flying Bird dan 28 Years Later.
Dalam filem F1, Apple dilaporkan mengubah suai kamera iPhone 15 Pro yang digabungkan dengan cip Apple bagi merakam rakaman khas dari sudut pandang kereta lumba. -Amanz