APPLE sebelum ini telah memperkenalkan pembantu maya mereka tersendiri dinamakan Siri pada tahun 2011.

Diperkenalkan pada iPhone terlebih dahulu, ia seterusnya diperluaskan dan diintegrasikan pada Mac, selain turut hadir bersama Homepod.

Melaluinya, pengguna boleh bertanyakan soalan, dan ia akan memberikan respon berkaitan.

Namun, dengan ledakan arena kecerdasan buatan yang dikuasakan dengan model bahasa raya, Siri dilihat jauh ketinggalan berbanding perkhidmatan seperti ChatGPT dan sebagainya.

Antara kelemahan utama adalah ia tidak boleh sambung sesuatu perbualan atau pertanyaan – dan pengguna perlu bertanyakan sesuatu perkara dengan semua kata kunci sepenuhnya.

Menyedari perkara ini, Apple kini dilaporkan memfokuskan kepada pembangunan model kecerdasan buatan mereka tersendiri, dan bakal memperkenalkan Siri yang ditambah baik pada WWDC 2024 kelak.

Siri baharu ini akan boleh berbual dengan lebih baik, dan mempunyai keupayaan menyambung pelbagai perbualan – dan bukan sekadar menjawab soalan sahaja.

Siri sendiri tidak menerima perubahan yang besar dari tahun ke tahun, dan pengenalan integrasi sokongan kecerdasan buatan janaan pada Siri akan membawa pelbagai kaedah penggunaan baharu.

Untuk menguasakan perkara ini juga, peranti baharu iPhone kelak dijangka hadir dengan sokongan memori lebih tinggi.

Untuk mengekalkan kelebihan dengan fokus privasi, Siri dijangka akan mengoperasikan pelbagai pertanyaan dan perbualan pada peranti, dan bukan menggunakan pelayan sepenuhnya seperti OpenAI atau Google.

Apa pun, seperti biasa, sama-sama kita nantikan WWDC 2024 pada bulan Jun kelak untuk melihat sendiri kejutan yang disediakan Apple melalui kemaskini Siri. -Amanz