Pasti ramai yang tahu tentang sejarah Chernobyl, sebuah bandar terbiar di wilayah Pripyat, Ukraine selepas terkesan oleh sinaran radiasi akibat letupan nuklear pada 26 April 1986.

Danny Cooke, seorang jurukamera, pengarah dan penyunting video dari United Kingdom berpeluang menjejakkan kaki ke sana awal tahun ini untuk merakamkan bandar terbiar itu bagi program ’60 Minutes’.

Tidak semua visual digunakan dalam program tersebut dan Danny berkongsi paparan yang tidak pernah digunakan sebelum ini menerusi video berjudul ‘Postcards from Pripyat, Chernobyl’.

“Semasa berasa di sana, saya bertemu dengan ramai insan yang mengagumkan, salah seorangnya ialah pemandu arah kami, Yevgan. Kami meluangkan masa berminggu-minggu meneroka Chernobyl dan kawasan sekitar bandar Pripyat yang telah ditinggalkan.

"Suasananya hening dan pada masa sama mengganggu fikiran. Masa bagaikan terhenti dan meninggalkan memori di sekeliling kita,” Jelas Danny.

‘Postcards from Pripyat, Chernobyl’ meraih lebih 1.5 juta tontonan di laman YouTube tidak sampai seminggu perkongsian.

Danny turut memuatnaik video tersebut di laman Vimeo dan dikongsi di pelbagai platform oleh pengguna lain.

Apa yang menarik, video itu dirakam menggunakan kamera yang dilekatkan pada dron yang berjaya mengabadikan pemandangan Chernobyl yang menakjubkan.

Tambahan lagi, lagu “Promised Land’ nyanyian Hannah Miller sebagai muzik latar video memberikan satu perasaan yang sukar digambarkan.

Menurut Danny di laman webnya, Chernobyl merupakan salah satu tempat yang paling menarik dan bahaya pernah dia kunjungi.