PAS Terengganu sedia bekerjasama dengan pucuk kepimpinan baharu Barisan Nasional (BN) negeri demi kesejahteraan rakyat negeri itu khasnya dalam memberi kritikan yang membina.

Pesuruhjaya PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata PAS Terengganu turut berharap Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

"Tahniah kepada Ahmad Razif atas amanah dan kepercayaan yang diberikan kepada beliau dan PAS Terengganu sedia memberi kerjasama kepada beliau dalam memastikan kelancaran pembangunan di negeri ini.

"PAS Terengganu juga mahu beliau membuat penilaian semula terhadap projek pembangunan sedia ada, sama ada menangguh atau menghentikannya agar projek yang dijalankan itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini Khamis.