Tiga pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar ditukar berkuatkuasa hari ini susulan pelantikan Menteri Besar Terengganu yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata akan berlaku beberapa lagi bertukaran untuk disesuaikan dengan pertukaran menteri besar yang baharu.

"Kalau tiada pertukaran Menteri Besar pun pertukaran kakitangan itu tetap akan berlaku sebab ada yang bersara pada Jun ini," katanya.

Bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Md Kamaru Al-Amin Ismail dilantik Setiausaha Sulit Kanan kepada Ahmad Razif.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Berhad, Datuk Wan Ahamad Wan Muda dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar sebelum ini iaitu Azman Ghani @ Hussin masing-masing ditukar ke jawatan baharu iaitu sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.